JAKARTA: Semua pelakon dalam filem lucah yang dihasilkan oleh satu syarikat produksi di Jakarta Selatan dipercayai menerima bayaran sebanyak 10 hingga 15 juta rupiah (RM3,049 hingga RM4,573) bagi setiap judul.
Siasatan polis mengenal pasti seramai 12 wanita dan lima lelaki terlibat dalam penghasilan filem lucah dengan syarikat tersebut.
“Calon-calon pelakon ini dicari berdasarkan kumpulan rangkaian dan juga menerusi media sosial.
“Boleh dikatakan latar belakang pelakon wanita yang terlibat dalam filem tidak bermoral itu terdiri daripada golongan artis, model dan juga pempengaruh media sosial,” kata Pengarah Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya, Ade Safri Simajuntak.
Ade menyatakan, syarikat produksi itu tidak menyediakan kontrak atau perjanjian tertentu dengan para pelakon.
Sebaliknya, syarikat berkenaan hanya akan memberi bayaran kepada pelakon selepas penggambaran selesai.
“Tiada sebarang kontrak untuk pelakon dalam penghasilan filem lucah.
“Para pelakon hanya menerima bayaran secara one off,” ujar Ade.
Terdahulu, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya menyerbu syarikat produksi yang menghasilkan filem lucah di Jakarta Selatan.
Operasi itu dilakukan selepas polis menemukan laman web penstriman secara langsung yang menyediakan pelbagai filem lucah.
Polis kemudiannya melakukan pemerhatian dan siasatan lanjut sebelum menahan lima individu.
Menurut polis, kelima-lima suspek itu sudah terlibat dengan filem lucah sejak 2022 dan meraih keuntungan sehingga 500 juta rupiah (RM152,451).