JAKARTA: Semua calon Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024 dibenarkan memiliki maksimum 20 akaun media sosial bagi tujuan kempen.
Kebenaran itu termaktub untuk semua peserta termasuk calon presiden dan calon legislatif.
Perkara itu dimaklumkan berdasarkan Peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Nombor 15 tahun 2023 yang menyatakan semua calon Pemilu boleh menggunakan media sosial untuk berkempen.
Dalam pada itu, semua bahan kandungan termasuk visi, misi dan program perlulah berkaitan Pemilu dan dilarang sama sekali mempunyai agenda lain yang boleh mencetuskan kekeliruan dan kekecohan dalam kalangan masyarakat.
Bahan kandungan pula boleh dimuat naik dalam bentuk tulisan, suara, imej dan gabungan kesemuanya.
Selain itu, semua calon Pemilu perlu mendaftarkan akaun media sosial yang akan digunakan bagi berkempen kepada KPU dengan paling lambat didaftarkan tiga hari sebelum musim kempen bermula.
Selepas kempen berakhir, semua akaun media sosial berkenaan akan ditutup.
Kempen Pemilu 2024 dijadualkan bermula pada 28 November tahun ini sehingga 10 Februari 2024 sebelum hari pengundian berlangsung pada 14 Februari 2024.










