Usaha AS bakal cetus konfrontasi berbahaya

Usaha AS bakal cetus konfrontasi berbahaya

KAPAL USS Batan melalui Terusan Suez di Mesir. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Tindakan Amerika Syarikat (AS) meningkatkan keupayaan ketenteraan secara berterusan di Teluk dilihat berupaya mencetuskan `konfrontasi berbahaya’ dengan Iran.

Itu antara pandangan diutarakan felo penyelidik kanan dari Center for International Policy, Sina Toossi, ketika kedua-dua negara terus bergelut untuk menyelesaikan isu masing-masing menerusi pendekatan diplomasi.

Baru-baru ini, Pentagon mengumumkan ribuan tentera AS akan dikerahkan ke rantau itu untuk membantu melindungi beberapa lorong perkapalan termasuk Selat Hormuz daripada `gangguan’ Iran.  

Agensi berita Associated Press juga melaporkan tentera AS sedang mempertimbangkan untuk menempatkan anggota bersenjata di kapal perdagangan yang melalui selat itu, tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Laporan itu mencetuskan tindak balas yang tegas dari Iran. 

Iran memaklumkan akan melengkapkan pasukan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) dengan dron dan peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap langkah AS.

Menurut Toossi, Presiden AS, Joe Biden dilihat sedang melipat gandakan `dasar gagal’ pendahulunya, Donald Trump berkaitan sekatan ekonomi dan ketegangan terhadap Iran.       

“Rekod prestasi dasar ini sejak beberapa dekad lalu menunjukkan ia boleh menyebabkan berlakunya ketegangan antara satu sama lain, yang mana AS akan meningkatkan keupayaan dan Iran pula akan bertindak balas. 

“Jadi, ini adalah sangat berbahaya,” katanya kepada Al Jazeera.

Hubungan AS-Iran menjadi semakin tegang sejak 2018 apabila Trump membatalkan perjanjian nuklear pelbagai hala sehingga menyaksikan Teheran mengurangkan program nuklearnya sebagai pertukaran untuk menarik balik sekatan antarabangsa dikenakan ke atas ekonomi negaranya.   

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, AS menuduh Iran merampas kapal-kapal antarabangsa yang melalui Teluk.

Namun, penganalisis berpandangan tindakan terbaharu Teheran di perairan strategik berlaku selepas Washington merampas sebuah kapal tangki minyak Iran, yang dilihat sebahagian langkah penguatkuasaan sekatannya. 

Dilaporkan, kapal tangki itu kini berada di luar pantai Texas dan  syarikat minyak yang lain enggan membida kapal berkenaan kerana takut dengan tindak balas Iran terhadap kapal mereka sendiri di Teluk.   

Jelas Toossi, kedua-dua negara itu cuba menunjukkan mereka mampu membalas tindakan agresif pihak lain.

Malah, beliau memberi amaran bahawa AS dan Iran berada pada `tahap ketegangan’ yang boleh membawa kepada konflik.  

Sementara itu, pengarah dasar di Majlis Kebangsaan Iran Amerika (NIAC) berpangkalan di Washington, Ryan Costello menyifatkan tajuk berita berkaitan isu memperkukuhkan keupayaan ketenteraan AS di Teluk seolah-olah menunjukkan `kemunculan semula’ era Trump.      

“Ketika pentadbiran Biden menyatakan pihaknya cuba menghalang Iran daripada mengganggu kapal, Teheran mungkin melihat kehadiran tentera AS sebagai dorongan untuk memudahkan Washington merampas kapal tangki Iran.

“Jadi, ia merupakan strategi berbahaya yang sedang dirangka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya