Trump berdepan tuduhan, cuba batal keputusan pilihan raya presiden AS - Utusan Malaysia

Trump berdepan tuduhan, cuba batal keputusan pilihan raya presiden AS

DONALD TRUMP berucap pada acara kempen di Erie, Pennsylvania. - AFP   
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump didakwa atas beberapa pertuduhan bagi peranannya dalam cubaan membatalkan keputusan pilihan raya AS pada 2020. 

Ia dianggap sebagai pertuduhan paling serius yang dikenakan terhadap bekas pemimpin itu ketika beliau berkempen untuk kembali semula ke White House. 

Berdasarkan kertas pertuduhan difailkan oleh peguam khas Jack Smith, Trump didakwa atas tiga tuduhan melakukan konspirasi dan satu tuduhan menghalang suara rakyat.

Trump didakwa bersubahat untuk menipu AS dan melakukan konspirasi bagi menghalang prosiding rasmi iaitu sidang Kongres diadakan untuk mengesahkan kemenangan pemimpin Demokrat, Joe Biden pada 6 Januari 2021.

“Tujuan konspirasi dilakukan adalah untuk membatalkan keputusan sah pilihan raya presiden 2020 dengan secara sengaja menyebarkan dakwaan palsu kononnya terdapat penipuan dalam pilihan raya,” menurut pendakwaan itu.

Sebelum ini, Smith pernah memfailkan pertuduhan berasingan terhadap Trump berhubung salah kendali dokumen sulit kerajaan.

Malah, bekas presiden itu juga pernah menghadapi perbicaraan di New York atas dakwaan membayar wang kepada seorang pelakon lucah sebelum pilihan raya.   

“Walaupun sudah kalah dalam pilihan raya, defendan (Trump) masih bertekad untuk terus berkuasa.

“Jadi, selama lebih dua bulan selepas pilihan raya berlangsung pada 3 November 2020, defendan menyebarkan pembohongan kononnya terdapat penipuan dalam keputusan pilihan raya dan beliau sebenarnya sudah menang.

“Dakwaan berkenaan adalah palsu, malah defendan turut sedar ia tidak benar,” jelas pendakwaan itu.  

Selain itu, dokumen pertuduhan itu turut mengandungi enam rakan subahat bersama Trump dalam kes berkenaan tanpa mendedahkan identiti mana-mana individu terbabit.

Media AS melaporkan Trump dijangka hadir ke Mahkamah Persekutuan di Washington pada Khamis ini.

Sementara itu, Trump menafikan segala tuduhan terhadapnya. 

Beliau menyelar Smith dengan menyifatkan peguam itu mengemukakan `satu lagi dakwaan palsu’ terhadapnya untuk mengganggu proses pilihan raya presiden. – AFP  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN