ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya 13 orang termasuk tujuh kanak-kanak maut dalam rempuhan yang berlaku di sebuah stadium di ibu negara Madagascar.
Perkara itu dimaklumkan oleh pasukan Palang Merah dan seorang ahli Parlimen di kawasan tersebut.
“Setakat ini, seramai 13 orang terbunuh manakala 107 lagi cedera,” kata ahli Parlimen dari pembangkang, Hanitra Razafimanantsoa dalam satu temubual bersama stesen radio tempatan.
Pasukan Palang Merah yang berada di lokasi kejadian memaklumkan pihaknya masih belum mendapat senarai akhir jumlah mangsa.
Jelas pertubuhan itu, ketika ini, tujuh kanak-kanak antara mangsa yang meninggal dunia.
Perdana Menteri, Christian Ntsay pada mulanya menyatakan sekurang-kurangnya 12 maut dan 80 lagi cedera.
Rempuhan itu berlaku di pintu masuk stadium Barea ketika peminat sukan cuba memasuki premis berkenaan untuk menonton perasmian Indian Ocean Island Games.
Dilaporkan, kira-kira 50,000 orang menghadiri acara perasmian berkenaan.
Punca tragedi tidak diketahui serta-merta namun Palang Merah menjangkakan jumlah kematian boleh meningkat.
“Ramai orang berada di pintu masuk stadium sehingga menyebabkan rempuhan,” kata Pengurus Komunikasi Palang Merah, Antsa Mirado.
Presiden Andry Rajoelina yang hadir pada acara perasmian itu, meminta orang ramai dalam stadium bertafakur seminit untuk mengenang mangsa.
“Peristiwa tragis itu berlaku disebabkan orang ramai tolak-menolak. Ada mangsa yang maut dan cedera di pintu masuk,” katanya dalam ucapan disiarkan di televisyen. – AFP