Prabowo jadi 'calon kegemaran' rebut jawatan Presiden Indonesia - Utusan Malaysia

Prabowo jadi ‘calon kegemaran’ rebut jawatan Presiden Indonesia

PRABOWO SUBIANTO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto menerima sokongan hampir separuh daripada sembilan parti politik di Parlimen, sekali gus meletakkan pemimpin itu mendahului dua calon lain dalam pilihan raya presiden Indonesia.

Dalam keputusan mengejut semalam, parti tertua negara itu, Parti Golkar dan Parti Amanat Nasional (PAN) yang mendukung Islam berikrar menyokong Prabowo, pada pilihan raya yang dijadual berlangsung Februari 2024.

Prabowo berpendapat bahawa penyertaan Parti Golkar dan PAN sebagai faktor yang akan mengukuhkan pencalonannya dalam pilihan raya akan datang.

“Saya mendapat kepercayaan dan tanggungjawab tambahan dari Parti Golkar dan PAN. Setahun yang lalu, PKB juga menyatakan sokongan mereka terhadap saya sebagai calon presiden,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kerjasama dengan parti-parti ini adalah berasaskan komitmen bersama bagi memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat Indonesia dan kedaulatan negara.

Prabowo sebelum ini memperoleh sokongan daripada partinya sendiri, Parti Gerindra dan Parti Kebangkitan Bangsa (PKB).

Secara keseluruhan, parti yang menyokong pencalonan Prabowo menguasai 46 peratus kerusi di Parlimen Indonesia.

Dua lagi calon presiden, Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan, masing-masing memperoleh sokongan sebanyak 26 dan 28 peratus.

Undang-undang pilihan raya Indonesia menetapkan parti atau gabungan parti memiliki sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen untuk meletakkan sepasang calon presiden dan naib presiden ke suruhanjaya pilihan raya nasional.

Gabungan parti yang menyokong Prabowo, masih belum membuat keputusan mengenai siapa bakal berpasangan dengan pemimpin itu.

Antara nama yang disebut-sebut adalah Menteri Syarikat Milik Negara, Erick Thohir, yang mana keluarga beliau adalah penderma utama kempen Presiden Indonesia sekarang, Joko Widodo (Jokowi).

Calon berpotensi lain termasuk Pengerusi PKB, Muhaimin Iskandar dan anak Jokowi yang juga Datuk Bandar Solo, Gibran Rakabuming Raka.

Prabowo sebelum ini bertanding jawatan presiden pada 2014 dan 2019, tetapi tewas kepada Jokowi dalam kedua-dua pilihan raya berkenaan.

Pendaftaran yang dijadualkan tahun ini akan bermula pada 19 Oktober dan berakhir pada 25 November, diikuti tempoh berkempen untuk pilihan raya umum, pada 14 Februari 2024. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya