BANGKOK: Parti Move Forward (MFP) yang memenangi pilihan raya Thailand Mei lalu tidak lagi menyertai gabungan parti yang berharap untuk membentuk kerajaan.
Ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu berada dalam kemelut politik sejak MFP muncul sebagai pemenang kerusi majoriti terbesar, diikuti rapat oleh parti populis, Pheu Thai.
Pemimpin Pheu Thai, Cholnanan Srikaew mengumumkan bahawa MFP sudah keluar daripada gabungan itu.
“Pembentukan kerajaan baharu tidak akan melibatkan MFP.
“Pheu Thai akan berusaha untuk mendapatkan undi yang mencukupi, MFP akan menjadi pembangkang dan kami akan bekerja dalam dimensi baharu yang bermanfaat kepada rakyat,” katanya.
Parti Pheu Thai yang diasaskan oleh bekas taikun telekomunikasi, Thaksin Shinawatra berkata, pihaknya akan mencalonkan Ahli Perniagaan, Srettha Thavisin dalam undian Parlimen untuk jawatan Perdana Menteri yang dijadualkan Jumaat ini.
MFP gagal dalam dua kali percubaannya untuk mengangkat Pemimpinnya, Pita Limjaroenrat, sebagai Perdana Menteri selepas pencalonannya disekat oleh penentang konservatif dan Senat dewan atasan yang dilantik oleh tentera.
Timbalan pemimpin Pheu Thai, Phumtham Wechayachai berkata, kerajaan pimpinan partinya tidak akan menyokong pindaan artikel 112 melibatkan kesalahan menghina monarki yang diperjuangkan MFP sebaliknya akan menumpukan kepada penyelesaian masalah ekonomi dan politik.
Cholnanan memberitahu sidang akhbar di Bangkok, partinya tidak mempunyai pilihan selain berpisah dengan sekutunya dalam menghadapi penentangan konservatif yang tidak dapat diatasi terhadapnya.
“Pheu Thai telah menyokong MFP dengan kemampuan kami sepenuhnya,” kata Cholnanan.-REUTERS/AFP