SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran dilarang daripada bertugas dan dikenakan tindakan pengurangan gaji sebanyak 8,500 dolar Singapura (RM28,854) sebulan.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan dan tindakan itu dikuatkuasakan sehingga tempoh yang akan diberitahu kelak.
Hsien Loong turut menyentuh mengenai siasatan rasuah yang melibatkan Iswaran serta peletakan jawatan dua ahli Parlimen, Tan Chuan-Jin dan Cheng Li Hui ekoran hubungan sulit mereka.
Lebih 10 Ahli Parlimen memfailkan soalan mengenai perkara berkaitan siasatan oleh Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
Lapor Channel News Asia, Iswaran ditahan oleh CPIB pada 11 Julai lalu namun diikat jamin dan sudah diberi cuti rehat.
Siasatan CPIB terhadap Iswaran turut melibatkan jutawan, Ong Beng Seng yang terkenal kerana membawa perlumbaan Formula 1 ke Singapura.
Memandangkan insiden sebegitu yang melibatkan menteri jarang berlaku, Hsien Loong berkata, tidak ada peraturan sedia ada untuk mengenakan larangan demikian ke atas pemegang jawatan politik.
Oleh itu, beliau menggunakan peraturan perkhidmatan awam semasa sebagai titik rujukan.
“Butiran khusus dalam kes Iswaran mengikut bagaimana agensi kerajaan akan berurusan dengan pegawai kanan dalam situasi yang sama.
“Tetapi ini adalah keputusan saya sebagai Perdana Menteri, kerana aspek politik bagi seorang menteri dan penjawat awam yang disiasat dan ditahan adalah amat berbeza,” katanya.
Beliau berkata, dakwaan salah laku membabitkan menteri jarang berlaku berikutan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah mempunyai pendekatan ‘toleransi sifar’ terhadap rasuah.
“Sememangnya PAP menerima kesannya namun kami akan menunjukkan kepada rakyat, kami masih menegakkan standard dan melakukan perkara sewajarnya supaya rakyat tidak hilang kepercayaan terhadap parti kami.
“Justeru, apabila siasatan selesai, CPIB akan menyerahkan hasilnya kepada Jabatan Peguam Negara, yang akan memutuskan tindakan seterusnya,” katanya yang enggan mendedahkan butiran lanjut berikutan siasatan masih dijalankan.-AGENSI