YANGON: Junta tentera Myanmar mengurangkan tempoh hukuman penjara Aung San Suu Kyi sebanyak enam tahun menerusi pengampunan negara yang diberikan kepada pemimpin awam digulingkan itu.
Suu Kyi sebelum ini dikenakan hukuman penjara selama 33 tahun untuk pelbagai kesalahan termasuk rasuah, menyeludup alat komunikasi dan melanggar sekatan Covid-19.
Pelbagai pihak menzahirkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan pemenang Hadiah Nobel itu sejak beliau ditahan.
Malah, junta tentera memindahkan Suu Kyi dari penjara ke sebuah bangunan kerajaan pada minggu lalu.
“Tempoh penjara enam tahun akan dikurangkan,” kata jurucakap junta, Zaw Min Tun kepada wartawan.
Menurut Zaw Min Tun, pengurangan itu berkaitan dengan lima daripada 19 kes jenayah yang dihadapi oleh pemimpin berusia 78 tahun itu.
Bagaimanapun, katanya, Suu Kyi masih berdepan 14 kes walaupun sudah diberi pengampunan.
Pengampunan itu dibuat kira-kira dua hari selepas junta melanjutkan tempoh darurat di Myanmar selama enam bulan, kali keempat sejak rampasan kuasa pada 2021.
Sementara itu, jurucakap junta memaklumkan tempoh hukuman penjara bekas Presiden Myanmar, Win Myint juga dikurangkan sebanyak empat tahun membabitkan dua kes.
Pengumuman itu merupakan sebahagian pengampunan diberikan terhadap lebih 7,000 tahanan sebagai menyambut Hari Buddha Lent. – AFP