JAKARTA: Pertumbuhan ekonomi Indonesia berkembang lebih cepat berbanding yang diramalkan dalam suku kedua tahun ini, sekali gus merekodkan kadar pertumbuhan paling kukuh biarpun sektor eksport sedikit ketinggalan.
Hub ekonomi terbesar rantau Asia Tenggara itu mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.17 peratus bagi tahun ini antara April dan Jun lalu, menurut Jabatan Statistik Indonesia.
Perkembangan positif itu dipacu oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah, pelaburan dalam dan luar negara serta pertambahan perbelanjaan kerajaan.
“Dalam tempoh suku kedua 2023, perkembangan ekonomi Indonesia mencatatkan pertumbuhan positif berikutan peningkatan perbelanjaan masyarakat semasa musim cuti.
“Daya tahan ekonomi Indonesia terus menunjukkan tren positif selepas pandemik Covid-19, biarpun sektor eksport negara ini merosot buat kali pertama sejak suku terakhir 2020, selain penurunan harga minyak sawit,” kata jurucakap Jabatan Statistik Indonesia, Edy Mahmud.
Sektor eksport negara ini menurun 2.75 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Pada tahun lalu, ekonomi Indonesia merekodkan pertumbuhan 5.3 peratus, iaitu tertinggi dalam tempoh sembilan tahun berikutan kenaikan harga eksport dan banyak sekatan Covid-19 ditarik balik.
Namun, pakar ekonomi meramalkan ekonomi negara ini mungkin berkembang perlahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana kenaikan harga komoditi dunia yang berpunca daripada perang Ukraine-Russia. – AFP