RAMALLAH: Tentera Israel membunuh dua penduduk Palestin termasuk seorang remaja berusia 16 tahun, semasa melakukan serbuan di bandar Jericho di Tebing Barat.
Perkara itu disahkan oleh Kementerian Kesihatan Palestin.
Kementerian memaklumkan Qusay Omar Suleiman al-Walaji, 16, dan Mohammed Ribhi Njoom, 25, maut ditembak di bahagian dada `semasa serangan di Jericho pada waktu subuh’.
Menurut tentera Israel, semasa serbuan, suspek melepaskan tembakan ke arah Polis Sempadan Israel yang kemudian berbalas tembakan.
“Beberapa das tembakan dilepaskan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ia merupakan serbuan pertama yang dilakukan tentera Israel sejak 1 Mei lalu di kawasan tersebut.
Keganasan yang dikaitkan dengan konflik Israel-Palestin dilaporkan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini, apabila Israel memperhebatkan serbuan berikutan beberapa serangan yang membawa maut di beberapa bandar.
Israel menduduki Tebing Barat sejak Perang Enam Hari 1967.
Kematian dua penduduk itu menjadikan sejumlah 216 penduduk Palestin dibunuh dalam konflik Israel-Palestin setakat tahun ini. – AFP