Demokrasi 'tiada bayang', rakyat Myanmar terus hidup bawah cengkaman junta

Demokrasi ‘tiada bayang’, rakyat Myanmar terus hidup bawah cengkaman junta

PENUNJUK perasaan berlindung disebalik perisai buatan ketika bertempur dengan polis, semasa protes menentang rampasan kuasa di Yangon pada Mac 2021. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Junta Myanmar melanjutkan tempoh perintah darurat negara itu selama enam bulan lagi, berkuat kuasa semalam.

Tindakan itu sekali gus menandakan pilihan raya yang dijanjikan mereka bakal ditangguhkan lagi ketika tentera berusaha memerangi kumpulan anti-rampasan kuasa di seluruh negara.

Negara itu dilanda konflik sejak tentera menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa lebih dua tahun lalu.

Malah, tentera melancarkan tindakan keras terhadap individu yang menentang pemerintahan junta sehingga mencetuskan pertempuran di seluruh negara dan menjejaskan ekonomi.

Berdasarkan laporan media tempatan, Ketua Junta, Min Aung Hlaing mengakui kebanyakan kawasan di negara itu tidak lagi berada di bawah kawalan tentera.

Jelas beliau, pertempuran masih berterusan di wilayah Sagaing, Magway, Bago dan Tanintharyi serta negeri Karen, Kayah dan Chin.

“Kami memerlukan sedikit masa untuk meneruskan tugas kami bagi melakukan persediaan yang sistematik. Ini kerana kami tidak sepatutnya mengadakan pilihan raya itu secara tergesa-gesa,” katanya sepertimana dilaporkan MRTV.

Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara (NDSC) bersetuju untuk melanjutkan tempoh darurat yang diisytiharkan apabila junta menggulingkan kerajaan Suu Kyi.

“Tempoh darurat akan dilanjutkan selama enam bulan lagi bermula dari 1 Ogos,” jelas media kerajaan dengan memetik kenyataan Pemangku Presiden Myint Swe.

Perlembagaan 2008 yang digubal tentera Myanmar dilaporkan masih berkuat kuasa.

Berdasarkan Perlembagaan, ia memerlukan pihak berkuasa mengadakan pilihan raya baharu dalam tempoh enam bulan selepas perintah darurat ditarik balik.

Junta sebelum ini berjanji untuk mengadakan pilihan raya baharu menjelang Ogos tahun ini.

Februari lalu, junta melanjutkan perintah darurat sehari selepas NDSC mengesahkan konflik masih belum pulih.

Ketika itu, Min Aung Hlaing berkata, pasukan tenteranya gagal mengawal sepenuhnya lebih satu pertiga daripada bandar di Myanmar.

Sebelum rampasan kuasa, tentera sudah memerintah Myanmar selama beberapa dekad selepas merdeka daripada Britain pada 1948, serta menguasai ekonomi dan politik negara itu.

Myanmar terus berdepan konflik berdarah apabila insiden letupan bom dan pertempuran ganas terus berlaku sehingga meragut ribuan nyawa orang awam.

AS BIMBANG

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), Matthew Miller berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan junta pemerintah Myanmar yang melanjutkan perintah darurat.

“AS amat bimbang dengan keputusan rejim tentera Burma melanjutkan perintah darurat.

“Ia dilakukan ketika rejim meletakkan negara itu dalam keganasan dan ketidakstabilan,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN