BANGKOK: Parti Bhumjaithai mengumumkan untuk menyertai Parti Pheu Thai dalam usaha menamatkan kebuntuan politik dan membentuk kerajaan baharu Thailand, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung pada 14 Mei lalu.
Pemimpin Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul berkata, parti itu menerima pelawaan Pheu Thai dengan tiga syarat.
Syarat tersebut adalah gabungan baharu berkenaan tidak akan meminda Artikel 112 atau undang-undang lese-mejeste, tidak membentuk kerajaan minoriti dan mengecualikan Parti Move Forward (MFP daripada gabungan baharu.
“Bhumjaithai dan Pheu Thai akan mendapatkan sokongan daripada parti politik lain termasuk Senator untuk membentuk kerajaan majoriti,” kata Anutin.
Dalam perkembangan sama, pemimpin Pheu Thai, Cholnan Srikaew berkata, kedua-dua parti akan berusaha membentuk kerajaan dengan sokongan parti politik lain.
Pheu Thai memenangi 141 kerusi dalam PRU lepas, menjadikannya pemenang kedua terbesar selepas MFP memperoleh 151 kerusi, manakala Bhumjaithai meraih 71 kerusi.
Secara keseluruhan, Pheu Thai dan Bhumjaithai mempunyai sebanyak 212 kerusi.
“Ini akan menjadi asas untuk pembentukan kerajaan baharu. Gabungan ini sedang mendapatkan sokongan Ahli Parlimen, Senator dan parti politik lain untuk membentuk kerajaan yang dapat mengurus negara dengan berkesan dan menangani masalah rakyat,” kata Cholnan.
Cholnan menggesa parti-parti politik untuk menyokong calon Perdana Menteri Pheu Thai – pengurus hartanah Srettha Thavisin dan mengulangi sekali lagi bahawa MFP tidak akan dimasukkan dalam gabungan baharu itu.