WASHINGTON: Aplikasi baharu syarikat induk Meta, Threads dikatakan `sukar’ untuk mengekalkan pengguna aktif di platform baharu firma itu.
Ia ekoran jumlah pengguna harian aplikasi pesaing Twitter itu semakin menurun sejak pelancarannya yang memecahkan rekod pada 5 Julai lalu.
Ketika ini, kira-kira lapan juta orang mendaftar masuk Threads setiap hari berbanding 44 juta pengguna aktif sejak pelancaran aplikasi itu.
Lapor Daily Mail, kajian dilakukan firma Sensor Tower dan Similarweb mendapati masa diluangkan orang ramai untuk melayari aplikasi itu juga semakin berkurangan dengan ketara.
Threads pada mulanya berjaya menarik 100 juta pengguna dalam tempoh lima hari pertama selepas pelancarannya, yang dianggap sebagai pertumbuhan paling pantas dalam sejarah penubuhan aplikasi.
Pada awal pelancaran Threads, pengguna dilaporkan membuka aplikasi itu sebanyak 14 kali sehari dan menghabiskan masa kira-kira 19 minit melayari laman tersebut.
“Kini, purata masa diluangkan pengguna menurun kepada 2.9 minit sehari dan mereka hanya membuka dua hingga tiga kali untuk melayari Threads,” jelasnya.
Data terbaharu itu dijangka meneruskan trend penurunan dalam penggunaan aplikasi.
Malah, isu itu akan menjadi kebimbangan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta yang melancarkan aplikasi itu, Mark Zuckerberg yang berharap dapat memanfaatkan krisis semasa sedang berlaku di Twitter.
Twitter yang kini mempunyai lebih 100 juta pengguna aktif harian, dijenamakan semula sebagai X oleh hartawan, Elon Musk.
Sebelum ini, beberapa pakar menyifatkan platform baharu Meta itu sebagai `ancaman serius’ kepada Twitter.