YANGON: Sekurang-kurangnya 17 pelarian Rohingya mati lemas apabila bot dinaiki mereka yang dipercayai sedang menuju ke Malaysia musnah di tengah laut, lapor penyelamat.
Anggota penyelamat Yayasan Shwe Yaung Metta bandar Sittwe, Byar La berkata, lebih 50 pelarian dipercayai berada dalam bot berkenaan.
Beliau berkata, bot berkenaan sedang dalam perjalanan menuju ke Malaysia sewaktu mengalami masalah ekoran laut bergelora pada malam Ahad lalu.
“Kami menemui 17 mayat setakat semalam.
“Kami juga menemui lapan lelaki yang masih hidup. Polis telah membawa mereka untuk disoal siasat,” katanya.
La berkata, pasukan penyelamat masih berusaha mencari mereka yang hilang, walaupun tidak dapat dipastikan jumlah sebenar pelarian yang menaiki bot tersebut.
Rakhine sebuah negeri terletak di Myanmar menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 600,000 etnik Rohingya beragama Islam yang dinafikan kewarganegaraan dan kebebasan untuk bergerak.
Tindakan tegas tentera Myanmar pada 2017 memaksa kira-kira 750,000 etnik Rohingya melarikan diri dari Rakhine ke Bangladesh, ekoran ancaman bunuh termasuk dibakar dan dirogol.
Ribuan warga Rohingya sanggup mempertaruh nyawa mereka saban tahun meredah perjalanan laut berbahaya untuk cuba sampai ke Malaysia serta Indonesia yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Bangladesh dan Myanmar dilaporkan sudah membincangkan usaha untuk memulakan penghantaran pulang pelarian Rohingya ke tanah air mereka.
Bagaimanapun, bulan lalu, seorang utusan hak asasi manusia Amerika Syarikat (AS) di Bangladesh berkata, keadaan masih tidak selamat untuk pemulangan pelarian etnik Rohingya ke Myanmar. – AFP