JAKARTA: Sudah tiga tahun akses masuk ke rumah sepasang suami isteri warga emas, Ngadenin dan isterinya, Nur ditutupi tembok bangunan hotel setinggi 15 meter di Pondok Gede, Bekasi.
Masalah itu menyebabkan Ngadenin dan isterinya perlu melalui kawasan parit berlumpur setiap kali ingin keluar dan masuk dari rumahnya.
Selepas melalui kawasan patit, pasangan suami isteri itu juga perlu berjalan di depan tingkap rumah jirannya sebelum tiba di rumah mereka.
Ngadenin memberitahu, dia dan isterinya membeli rumah di kawasan itu sejak 10 tahun lalu dan ketika itu, akses masuk rumahnya lancar tiada sebarang halangan.
Kemudian, para pemilik tanah di sekitar rumahnya menjualkan tanah mereka , termasuk tanah wakaf bagi membangunkan hotel di kawasan berkenaan.
“Saya beli tanah yang diwakafkan di sini, kemudian bina rumah dan kami duduk sehingga pembinaan hotel dimulakan.
“Pihak hotel langsung tidak memberitahu kami mengenai tembok yang akan dibangunkan sehingga menutup akses masuk ke rumah kami.
“Kini, kami tidak lagi tinggal di rumah itu kerana sudah terlalu uzur, namun kami masih belum menjualkannya kepada pihak hotel,” kata Ngadenin.
Jelasnya, hotel yang dibina itu masih belum beroperasi dan Ngadenin memberitahu, sepanjang masalah itu berlaku, tiada satu pun pihak berkuasa datang memberikan penyelesaian.
“Sudah tiga tahun kami hadapi masalah itu, namun tiada satu pun pihak datang jumpa kami untuk beritahu apakah penyelesaiannya.
“Biarpun kami sudah tidak lagi duduk di sana, tanah itu masih milik saya,” ujar Ngadenin.