WASHINGTON: Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 28 lagi cedera dalam satu kejadian tembakan besar-besaran di bandar Baltimore di Amerika Syarikat (AS).
Menurut Pemangku Pesuruhjaya Polis, Rich Worley, pihaknya menerima beberapa panggilan mengenai kejadian tembakan di kawasan kejiranan Brooklyn sejurus selepas pukul 12.30 pagi (waktu tempatan) semalam.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, kami menemukan ramai mangsa yang mengalami luka akibat terkena tembakan,” katanya.
Polis menerusi kenyataan mengesahkan seorang wanita berusia 18 tahun ditemukan meninggal dunia di tempat kejadian di bandar pelabuhan Pantai Timur.
Jelasnya, seorang lelaki berusia 20 tahun meninggal dunia selepas dibawa ke hospital.
Tambah polis, kesemua mangsa cedera sedang dirawat di beberapa hospital di kawasan itu, manakala tiga dalam keadaan kritikal.
Worley berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat untuk mengenal pasti suspek dan motif tembakan.
Sementara itu, Datuk Bandar Baltimore, Brandon Scott mengecam insiden tembakan tersebut.
“Ini merupakan tragedi yang tidak seharusnya berlaku.
“Insiden ini sekali lagi menekankan kesan dan keperluan untuk menangani masalah penggunaan senjata haram,” katanya.