MAKASSAR: Kastam Makassar mendedahkan perhiasan yang diperagakan seorang jemaah haji wanita selepas tiba di tanah air minggu lalu bukan diperbuat daripada emas tulen.
Pejabat Kastam dilaporkan berkoordinasi dengan premis pajak gadai tempatan untuk memeriksa barang kemas seberat 100 gram yang dipakai jemaah haji asal Makassar, Suarnati Daeng Kanang, 46, selepas videonya tular di media sosial.
Ketua Bahagian Perkhidmatan Penerangan Kastam dan Eksais Makassar, Ria Novika berkata, Suarnati turut mengesahkan kepada anggota jabatan tersebut barangan itu sebenarnya dibeli di Arab Saudi dengan harga di bawah 1 juta rupiah (RM307).
“Hasil penelitian kami, memang benar perhiasan yang dipakai itu hanyalah koleksi emas palsu yang dibeli di Arab Saudi sekitar harga 900 juta rupiah (RM277),” katanya dipetik CNN Indonesia.
Justeru, Ria menjelaskan, nilai barangan yang dibawa oleh jemaah haji itu dikecualikan daripada duti dan cukai import.
Katanya, duti dan cukai import hanya dikenakan ke atas barangan yang nilainya melebihi AS$500 (RM2,331).
Suarnati dari kumpulan pertama jemaah haji yang tiba di Asrama Haji Sudiang Makassar minggu lalu mengakui sengaja memakai barang kemas itu hanya untuk menceriakan suasana bersama sahabatnya.
Malah Suarnati sebelum ini mendakwa membeli perhiasan berkenaan dengan harga 120 juta rupiah (RM36,889) ketika berada di tanah suci sebagai pelaburan masa depan dan mungkin digunakan untuk modal perniagaannya.