BANGLI: Sebuah rumah musnah ditimbus tanah runtuh dalam satu kejadian yang berlaku di Brahmana Bukit, Bangli, Bali semalam.
Insiden itu menyaksikan satu keluarga menjadi mangsa dengan dua di antaranya yang merupakan pasangan suami isteri meninggal dunia.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada pukul 6.35 petang waktu tempatan dan pasangan suami isteri itu dikenal pasti sebagai Ida Bagus Eka Widya Cipta dan Ida Ayu Putu Mutiari.
Jenazah kedua-duanya sudah dibawa keluar dari timbunan tanah dan dihantar ke hospital, manakala tujuh lagi anggota keluarga tersebut berjaya diselamatkan.
Insiden itu berlaku akibat hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Bali.
Hujan lebat yang berlaku menyebabkan sejumlah pokok tumbang, bangunan dan jalan raya rosak serta beberapa insiden tanah runtuh.
Selain itu, ramalan kaji cuaca menyatakan hujan lebat dijangka berterusan dua hari lagi di Bali, sekali gus mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengelakkan melakukan aktiviti yang berisiko.