Ribuan kumpulan etnik sertai 'protes duduk' di Manipur, tuntut pelaku serangan seksual ditahan - Utusan Malaysia

Ribuan kumpulan etnik sertai ‘protes duduk’ di Manipur, tuntut pelaku serangan seksual ditahan

WANITA memegang sepanduk semasa menyertai protes membantah keganasan seksual di Manipur. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Beribu-ribu kumpulan etnik yang sebahagian besarnya terdiri daripada golongan wanita mengadakan `protes duduk’ secara besar-besaran di Manipur, India.

Kumpulan penunjuk perasaan itu menuntut penahanan individu terlibat dalam serangan seksual terhadap dua wanita yang dibogelkan di Manipur sehingga mencetuskan kemarahan ramai di India.

Gesaan itu dibuat ketika pembangkang membidas parti pemerintah, Parti Bharatiya Janata (BJP) kerana gagal menghentikan keganasan di negeri terpencil di timur laut India bersempadan dengan Myanmar.

Lapor Al Jazeera, protes anjuran sayap wanita Forum Pemimpin Suku Orang Asli (ITLF) dipercayai dihadiri kira-kira 15,000 orang di Churachandpur, kira-kira 65 kilometer (km) di selatan ibu kota, Imphal.

Beberapa pemimpin agama dan organisasi hak wanita yang mengetuai protes menggesa pegawai tertinggi di negeri itu, Biren Singh disingkirkan daripada jawatan.

Manipur menyaksikan lebih 130 penduduk terbunuh sejak keganasan antara kumpulan etnik Meitei dan Kuki meletus pada awal Mei lalu.

Baru-baru ini, sebuah video menunjukkan berpuluh-puluh lelaki berarak dan menyerang dua wanita yang dibogelkan di Manipur tular di media sosial.

Video berdurasi 26 saat itu menunjukkan sekumpulan lelaki kelihatan seawal usia 15 tahun meraba-raba dan menyerang secara seksual wanita dari etnik Kuki-Zo sebelum membawa mereka ke arah padang kosong.         

Berdasarkan laporan maklumat pertama (FIR) dibuat oleh mangsa yang terselamat, wanita berusia 21 tahun itu kemudian dirogol beramai-ramai sementara seorang lagi wanita lain turut dibawa ke kawasan itu berusia 42 tahun.

Insiden itu berlaku pada 4 Mei lalu, sehari selepas rusuhan etnik maut yang tercetus antara kaum Meitei yang kebanyakannya beragama Hindu dengan etnik Kuki-Zo beragama Kristian di negeri terpencil di timur laut India.

Video itu muncul selepas lebih dua bulan kejadian berlaku berikutan larangan internet di Manipur sejak 3 Mei lalu, tindakan yang dikritik secara meluas oleh aktivis hak asasi manusia di India.

Dilaporkan, penunjuk perasaan berhimpun di tapak `Tembok Peringatan’ di sebuah kawasan lapang di Churachandpur, lokasi kuat etnik Kuki. 

Pengerusi Pertubuhan Hak Asasi Wanita Etnik Kuki, Ngaineikim menuduh Biren Singh yang dari kaum Meitei mendalangi kekejaman berkenaan.

Hampir 400 lelaki dan wanita lain turut mengadakan protes di ibu negara, New Delhi dengan membuat tuntutan yang sama.

Golongan penunjuk perasaan itu membawa sepanduk tertera `Kami menuntut tindakan tegas diambil terhadap pelaku dan peletakan jawatan Biren Singh’.

Sementara itu, kerajaan negeri Manipur memaklumkan penahanan suspek kelima berhubung insiden ngeri itu.

Ketua polis negeri, Rajiv Singh berkata, pihaknya sedang melakukan operasi serbuan untuk menahan suspek lain.

Setakat ini, polis sudah menahan empat lelaki yang didakwa mengarak dua wanita berbogel di hadapan perusuh di negeri itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN