BANGKOK: Calon Perdana Menteri Thailand, Pita Limjaroenrat bersedia mengundurkan diri dan membenarkan rakan sekutunya, iaitu Parti Pheu Thai membentuk kerajaan seterusnya.
Pita sanggup mengambil langkah itu sekiranya beliau sekali lagi gagal mendapat sokongan yang mencukupi dalam undian pusingan kedua minggu depan.
Dalam sebuah mesej video dalam media sosial kelmarin, Pita berkata, beliau akan memperbaharui pencalonannya apabila Parlimen bersidang semula pada Rabu untuk undian kedua.
Katanya, Parti Move Forward (MFP) yang memperoleh kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lalu mempunyai tanggungjawab untuk membentuk kerajaan, namun usaha berkenaan tidak berjaya.
“Saya akan berjuang sehingga akhir tetapi jika jelas MFP gagal, saya akan membiarkan Parti Pheu Thai yang mempunyai kerusi kedua terbanyak untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Dalam sidang kedua pada Rabu depan, MFP juga berusaha meluluskan rang undang-undang untuk menggugurkan kuasa Senat dalam pengundian jawatan perdana menteri.
Sementara itu, Pita menggesa penyokong parti untuk membantu meyakinkan ahli-ahli Senat bagi menyokongnya dalam pusingan akan datang.
“Saya tidak dapat mengubah fikiran mereka (ahli-ahli Senat). Saya meminta semua orang menyertai misi ini,” katanya.
Pada Khamis lalu, Pita gagal memperoleh sokongan lebih separuh daripada 749 Ahli Parlimen.
Walaupun menjadi calon tunggal untuk jawatan itu, Pita berdepan ujian getir untuk mendapatkan 375 undi yang diperlukan.
Beliau sebaliknya hanya mendapat 324 undi, manakala 199 berkecuali dengan seramai 44 Ahli Parlimen tidak hadir pada persidangan itu.










