MANILA: Jumlah mangsa terkorban dalam nahas bot terbalik di Filipina setakat ini bertambah kepada 26 orang ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan pihak berkuasa.
Ketika kejadian, bot kecil yang membawa sekurang-kurangnya 70 penumpang itu dalam perjalanan dari pelabuhan di Binangonan ke pulau Talim di Tasik Laguna, berhampiran Manila kelmarin.
Menurut pihak berkuasa, angin kuat menyebabkan penumpang panik dan berkumpul di satu bahagian bot, menyebabkan kenderaan air itu tidak seimbang lalu terbalik dan karam sedikit demi sedikit.
Kapasiti maksimum bot berkenaan adalah sebanyak 42 penumpang.
Rakaman video operasi SAR yang dikongsikan pihak berkuasa menunjukkan seorang lelaki menjerit ‘terlalu ramai orang di sini’.
Selain itu, seramai 40 penumpang terselamat, manakala tiga lagi hilang.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Filipina akan menyiasat punca nahas insiden tersebut yang berlaku beberapa jam selepas Taufan Doksuri membadai utara negara ini.
Jurucakap pengawal pantai, Armando Balilo memberitahu, bot tersebut mendapat kebenaran untuk berlayar.
Terdahulu, semua bot dan kapal diarahkan berlabuh di Luzon pada awal minggu ini sebagai persiapan menghadapi Doksuri. – AFP










