JAKARTA: Indonesia kembali mencapai status negara berpendapatan menengah atas berdasarkan data terbaharu yang dikeluarkan Bank Dunia.
Ketua Agensi Dasar Fiskal Kementerian Kewangan, Febrio Kacaribu menjelaskan, Indonesia berjaya naik ke dalam kelompok berkenaan sepanjang tahun 2022 ekoran pemulihan ekonomi yang kukuh walaupun klasifikasi yang ditetapkan meningkat berikutan inflasi global.
Febrio menjelaskan, sebelum ini Indonesia pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan itu pada 2019 dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak AS$4,070 (RM18,980).
Namun, pandemik Covid-19 yang menghentikan hampir semua aktiviti ekonomi dunia mengubah kedudukan Indonesia menjadi negara berpendapatan menengah bawah pada 2020.
“Pada masa ini, Indonesia sudah meningkat kepada kumpulan berpendapatan menengah atas dengan julat pendapatan per kapita antara AS$ 4,466 hingga AS$ 13,845 (RM20,827 hingga RM64,563).
“Kepulangan Indonesia ke dalam kelompok tersebut berikutan keberkesanan pengendalian pandemik melalui pelaksanaan Program Penanganan Covid-19 dan Pemulihan Ekonomi Nasional (PC-PEN),” jelas Febrio.
Katanya, dasar hiliran sumber asli juga memberi impak yang besar dengan meningkatkan prestasi eksport dan mengukuhkan imbangan luar sehingga menjadikan Indonesia salah satu daripada beberapa negara di dunia yang pulih dengan cepat.
“Kerajaan komited untuk terus mengekalkan kualiti pemulihan ekonomi. Ini ditunjukkan dengan penurunan kadar kemiskinan kepada satu digit pada 2021 dan penurunan kadar pengangguran yang menghampiri paras pra-pandemik,” tambah Febrio.
Menurut Febrio, kerajaan turut komited untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang konsisten sekitar enam hingga tujuh peratus dalam usaha merealisasikan aspirasi Indonesia menjadi negara maju dengan pendapatan per kapita AS$30,000 (RM139,893) menjelang tahun 2045.