PALEMBANG: Pempengaruh media sosial, Lina Mukherjee yang kini ditahan di penjara Palembang berhubung kes memuat naik kandungan yang menunjukkan dia makan kulit babi dilaporkan dalam keadaan ‘terlalu terkejut sehingga tidak mahu makan’.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Penjara Perempuan Palembang, Ike Rahmawati kelmarin.
Jelas Ike, Lina ditahan di dalam ruangan ‘pengenalan’ bersama tiga lagi tahanan yang terlibat dalam kes dadah.
Semua tahanan baharu akan dimasukkan ke ruangan tersebut selama 14 hari sebelum ditempatkan di sel masing-masing.
“Lina berasa sangat terkejut kerana ditahan di penjara dan selepas beberapa hari berada di sini, dia mula tidak mahu makan.
“Mungkin kerana ini pertama kali dia dimasukkan ke penjara, jadi sudah tentu dia berasa terkejut dengan keadaan sekelilingnya.
“Bagaimanapun, Lina sudah mula makan sedikit selepas diberi kaunseling,” katanya.
Selain itu, Lina juga dilaporkan sering menangis dan enggan berbual dengan tahanan lain.
Pempengaruh media sosial itu turut tidak mahu berjumpa dengan orang luar selain peguamnya sahaja.
Wanita itu mencetuskan kontroversi kerana memuat naik kandungan yang menunjukkan dia makan keropok kulit babi sambil membaca kalimah bismillah.
Ketika ditahan, Lina mengakui tindakannya salah dan berjanji tidak mahu ulangi kesalahan tersebut.