NABLUS: Seorang pejuang bersenjata Palestin menembak mati askar Israel semalam berhampiran penempatan di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus meningkatkan kekhuatiran keganasan kembali memuncak di wilayah itu.
Shilo Yosef Amir, 22, adalah askar Israel kedua yang terbunuh dalam tempoh seminggu, ketika wilayah bergolak itu menyaksikan pertempuran sengit dalam konflik Israel-Palestin.
Dia terbunuh semasa melakukan aktiviti rutin berhampiran penempatan Kedumim, kata tentera dalam satu kenyataan.
Tentera Israel berkata penyerang berkenaan kemudiannya berjaya ‘dineutralkan’, namun pegawai Palestin tidak dapat mengesahkan keadaannya.
Dalam satu kenyataan awal, tentera berkata penyerang itu melarikan diri selepas melakukan tembakan.
Selain itu, dalam kenyataan yang sama, tentera memaklumkan kes itu bermula apabila pihaknya menghentikan ‘kenderaan yang mencurigakan untuk pemeriksaan’.
“Semasa pemeriksaan, seorang penyerang di dalam kenderaan melepaskan tembakan ke arah mereka. Pasukan bertindak balas dengan melepaskan tembakan sebelum penyerang melarikan diri.
“Askar Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan anggota keselamatan awam mengejar penyerang it dan ‘meneutralkannya’,” menurut kenyataan itu.
Sumber Palestin berkata tentera Israel kemudian menangkap abang dan bapa penyerang di kampung mereka di Tebing Barat.
Pembunuhan askar Israel itu didakwa dilakukan Briged Ezzedine al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, kumpulan pejuang Palestin yang memerintah wilayah Gaza.
“Briged Al-Qassam mengumumkan mereka tanggungjawab melaksanakan operasi yang berlaku di Kedumim,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu menyifatkannya sebagai ‘tindak balas pantas terhadap pencerobohan pendudukan dan pencerobohan terhadap penempatan rakyat mereka di kem Jenin’. – AFP










