WASHINGTON: Amerika Syarikat(AS) merekodkan sebanyak 28 kes pembunuhan beramai-ramai di negara itu dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Peningkatan kes jenayah itu berlaku ketika para penggubal dasar berusaha menangani keganasan membabitkan senjata api yang semakin berleluasa di seluruh negara itu.
Berdasarkan laporan analisis The Associated Press, sekurang-kurangnya 140 orang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai dalam tempoh berkenaan.
Hampir kesemua kes pembunuhan beramai-ramai itu membabitkan penggunaan senjata api.
Seorang ahli keluarga insiden tembakan sekolah rendah di Nashville pada Mac lalu, menyifatkan statistik kes pembunuhan beramai-ramai yang direkodkan ketika ini amat membimbangkan.
“Sudah tentu anda tidak menyangka keluarga anda akan menyumbang kepada data tersebut,” kata Brent Leatherwood yang mana tiga orang anaknya berada di dalam kelas di sekolah rendah itu.
Seorang bekas pelajar dilengkapi senjata menembak enam orang dalam serangan di sekolah rendah swasta di Nashville pada Mac lalu.
Pangkalan data yang dikendalikan oleh The Associated Press dan USA Today dengan kerjasama Northeastern University merekodkan kes keganasan berskala besar sejak tahun 2006.
Statistik 2023 itu mengatasi rekod dicatatkan sebelum ini iaitu 27 kes pembunuhan beramai-ramai pada separuh kedua tahun lalu.
Dalam pada itu, pakar kriminologi dari Northeastern University, James Alan Fox mengakui dia tidak pernah menyaksikan peningkatan kes yang begitu ketara sejak mula mengendalikan pangkalan data itu kira-kira lima tahun lalu.
“Sebelum ini, sekitar 24 hingga 36 kes pernah direkodkan dalam tempoh setahun.
“Namun, 28 kes dicatatkan dalam masa enam bulan sahaja sememangnya mengejutkan semua pihak,” katanya.
Pembunuhan beramai-ramai semakin berleluasa dengan peningkatan dalam kes keganasan membabitkan senjata api.
Berdasarkan pangkalan data Arkib Keganasan Senjata Api, AS merekodkan sebanyak 377 kes tembakan besar-besaran sejak awal tahun ini.
Malah, ketika AS menyambut Hari Kemerdekaan pada 4 Julai lalu, beberapa siri tembakan besar-besaran berlaku sehingga mengakibatkan puluhan orang terbunuh dan cedera di seluruh negara.
Kejadian itu turut mendorong pelbagai pihak menggesa undang-undang senjata api diperketatkan.
Pada awal bulan ini, Presiden Joe Biden mengecam beberapa siri tembakan berlaku di bandar utama AS, serta menggesa penggubal undang-undang bersepakat dalam menangani keganasan membabitkan senjata api.
Biden menggesa penggubal undang-undang Republikan untuk turut sama menyertai usahanya membawa `pembaharuan’ dalam menentang keganasan membabitkan senjata api.
Katanya, usaha itu termasuk larangan penggunaan senjata api, pemeriksaan latar belakang dan menamatkan imuniti buat pengeluar senjata. – AP