Konflik berterusan: PBB gesa bekalan senjata, mata wang asing ke Myanmar disekat - Utusan Malaysia

Konflik berterusan: PBB gesa bekalan senjata, mata wang asing ke Myanmar disekat

SEORANG penunjuk perasaan melompat melepasi hadangan yang dibuat dalam tunjuk perasaan di pekan Thaketa, Yangon, Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa komuniti antarabangsa menyekat akses junta Myanmar kepada senjata dan mata wang asing ketika krisis kemanusiaan di negara bergolak itu semakin meruncing.

Myanmar dilanda ketidakstabilan selepas rampasan kuasa pada 2021 yang menggulingkan pemimpin awam dipilih secara demokratik, Aung San Suu Kyi, sehingga mencetuskan pertempuran berdarah antara tentera dan Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF).

PBB dan kumpulan hak asasi manusia mengecam pencabulan hak termasuk serangan ke atas orang awam dan pekerja kemanusiaan, penahanan sewenang-wenangnya, kehilangan secara paksa, keganasan seksual dan penyeksaan.

“Kita perlu menghalang bekalan senjata kepada tentera serta menganalisis kepentingan ekonomi yang berada di belakangnya,” kata ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk.

Dalam laporan terbaru dibentangkan kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC), Turk turut menyeru ‘langkah bersasar’ bagi mengehadkan akses ketua tentera kepada mata wang asing, bahan api penerbangan dan menangani kaedah yang membolehkan serangan ke atas rakyat Myanmar.

Pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia bagi Asia Tenggara, Thomas Andrews, berkata mata wang asing membenarkan junta membeli senjata, membekalkan kilang senjatanya dan mengisi minyak pesawat tempur.

Beliau turut menggesa negara lain untuk menyertai Amerika Syarikat (AS) bagi menyekat institusi kewangan Myanmar dan menggesa penyelarasan lebih baik dalam kalangan kerajaan yang sudah mengenakan sekatan.

Turk menuduh tentera memusnahkan kampung dan berkata 3,747 rakyat mati di tangan tentera sejak ia mengambil alih kuasa, dengan lebih 23,000 orang awam ditangkap selain 40 pekerja bantuan turut terbunuh sejak rampasan kuasa berkenaan.

Katanya, lebih 15 juta orang kini amat memerlukan sokongan makanan dan nutrisi secara segera, dengan memaklumkan tentera sengaja menghalang bantuan daripada sampai kepada penduduk selepas kemusnahan akibat Taufan Mocha. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN