JAKARTA: Kementerian Kesihatan Indonesia memberi jaminan kemasukan doktor warga asing ke negara ini akan dikawal dan diteliti.
Hal itu dimaklumkan oleh menterinya, Budi Gunadi Sadikin berhubung Rang Undang-Undang Kesihatan yang didakwa akan membuka peluang liberalisasi sektor kesihatan negara kepada pasaran bebas.
“Jika ada pihak yang beranggapan RUU itu akan memudahkan kemasukan doktor asing ke negara kita, tanggapan mereka adalah salah.
“Ada proses dan prosedur yang perlu mereka (doktor asing) ikut untuk masuk dan berkhidmat di Indonesia.
“Mereka tidak boleh masuk dan sesuka hati wujudkan perkhidmatan perubatan dengan tujuan mengaut keuntungan,” katanya.
Selain itu, jelas Budi, semua doktor asing yang masuk Indonesia akan dipantau pihak berkuasa bagi memastikan mereka tidak memberikan perkhidmatan perubatan secara haram.
“Kita akan pantau golongan itu kerana mereka tidak boleh berikan perkhidmatan perubatan secara sendiri, mereka perlu patuhi undang-undang yang ditetapkan.
“Doktor asing juga tidak boleh buka klinik sendiri di Indonesia,” tegasnya.
Jelas Budi, semua doktor asing yang masuk Indonesia boleh menetap selama dua hingga empat tahun di negara ini.
Katanya, sepanjang tempoh tersebut, mereka digalakkan saling berkongsi kemahiran dan pengetahuan mengenai perubatan kepada doktor tempatan.