JAKARTA: Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto dilaporkan disoal siasat Pejabat Peguam Negara berhubung dakwaan rasuah melibatkan pemberian permit eksport minyak sawit mentah di negara itu.
Selepas disoal siasat selama 12 jam Isnin lalu, Kompas.com melaporkan, berlaku ketegangan antara krew media dan pengawal peribadi Airlangga.
Insiden bermula apabila Airlangga yang dikawal rapi oleh beberapa pengawal peribadi berpakaian putih dan berbaju batik bergegas ke keretanya untuk meninggalkan bangunan pejabat berkenaan.
Ketika itu, kru media yang sudah lama menunggu kemunculan Ketua Umum Parti Golkar itu mendekatinya untuk bertanyakan soalan berhubung siasatan yang dijalankan.
Bagaimanapun, kumpulan pengawal peribadi berkenaan cuba menghalang hingga kedengaran seorang individu disyaki salah seorang daripada mereka mengugut mahu melepaskan tembakan sekiranya kru media tidak memberi laluan.
“Woi, buka jalan woi! Buka jalan! Jika tidak saya tembak! Saya tembak awak!,” kata individu berkenaan dipetik Kompas TV.
Selepas itu, berlaku pula makian kasar yang didakwa turut dibuat oleh pengawal peribadi tersebut, menyebabkan suasan bertukar tegang beberapa minit sebelum Airlangga dan rombongannya meninggalkan bangunan Pejabat Peguam Negara.
Airlangga dilaporkan hadir memenuhi panggilan jabatan berkenaan sebagai saksi kes dakwaan rasuah permit eksport minyak sawit mentah termasuk minyak masak sepanjang tahun 2021 hingga 2022 dan mengakui sudah menjawab semua 46 soalan yang ditanyakan pegawai penyiasat dengan telus.










