JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) menegaskan beliau tidak mahu dipengaruhi mana-mana pihak berhubung Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.
Katanya, beliau hanya mahu fokus dengan tugasan hakiki sebagai pemimpin Indonesia bagi memastikan semua sektor di negara ini dalam keadaan stabil.
Jokowi menyatakan, beliau bimbang kestabilan politik di negara ini boleh terjejas apabila beliau tidak tidak menjalankan tugasnya dengan baik.
“Kita semua perlu kerja keras, jangan hilang fokus sehingga mencetuskan ketidakstabilan politik dan akhirnya memberi kesan kepada negara kita.
“Jangan cuba pengaruhi saya mengenai Pilpres yang bakal berlangsung pada tahun depan. saya mahu fokus bekerja kerana itulah tugas saya sebagai pemimpin Indonesia.
“Saya tidak mahu terlibat terlalu ‘mendalam’ mengenai Pilpres kerana nanti ada pihak sifatkan saya tidak bersikap neutral,” katanya.
Selain itu, Jokowi menegaskan beliau hanya mampu tersenyum apabila ada pihak yang cuba ‘mengajaknya menyertai mana-mana pasukan’ menjelang Pilpres 2024.
Ujar beliau, tiada apa yang beliau boleh lakukan mengenai perkara itu kerana semua bergantung kepada pilihan rakyat.
“Tidak bermakna jika saya menyokong mana-mana parti, parti itu akan menang kerana semuanya terletak di tangan rakyat.
“Kalau rakyat sudah memilih, tiada apa yang kita boleh lakukan. Tidak kisahlah parti mana, siapa yang bertanding dan sebagainya,” ujar Jokowi.
Jokowi juga mengingatkan para menterinya supaya tidak terlalu sibuk dengan kempen politik sehingga mengabaikan kerja hakiki.
“Isu pilihan raya ini masih belum jelas, dan sementara itu, adalah lebih baik kita fokus dengan tugasan hakiki di kementerian masing-masing,” jelasnya.