Gempa bumi kuat gegar Yogyakarta

Gempa bumi kuat gegar Yogyakarta, ratusan rumah dan bangunan rosak   

KEADAAN rumah penduduk di kampung Dlepih, wilayah Wonogiri yang runtuh akibat gempa bumi. - AGENSI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YOGYAKARTA: Satu gempa bumi dasar laut yang kuat menggegarkan beberapa kawasan di Pulau Jawa yang padat dengan penduduk.

Bencana itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk selepas ia mengakibatkan sekurang-kurangnya seorang maut, 11 lagi cedera dan ratusan rumah serta bangunan rosak. 

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGC), gempa berukuran 5.8 magnitud berpusat kira-kira 84 kilometer (km) barat daya Bambanglipuro, kampung di daerah Bantul di Yogyakarta, Indonesia.

Jelas USGC, gempa itu berlaku pada kedalaman 86 km.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia, Abdul Muhari berkata, seorang wanita berusia 67 tahun di Bantul maut akibat terjatuh ketika melarikan diri dalam keadaan panik.

Katanya, gempa bumi itu turut merosakkan kira-kira 93 rumah dan beberapa bangunan lain termasuk sekolah, klinik kesihatan, rumah ibadat serta kemudahan kerajaan di Yogyakarta dan wilayah berhampiran di Jawa Tengah dan Timur.

Rakaman televisyen menunjukkan penduduk di wilayah Yogyakarta dan Jawa Tengah panik dan bergegas melarikan diri apabila rumah dan bangunan di kawasan itu bergegar selama beberapa saat.

Malah, pihak berkuasa turut mengeluarkan arahan pemindahan di beberapa kawasan sehingga menyaksikan orang ramai keluar dari rumah masing-masing dan memenuhi jalanan untuk menuju ke pusat perlindungan sementara.

Terdahulu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia mengesahkan tiada ancaman tsunami namun memberi amaran mengenai kemungkinan gempa susulan yang boleh berlaku. 

Sebelum ini, agensi itu melaporkan gempa bumi itu berukuran 6.4 skala Richter.

Pada 2006, gempa bumi berukuran 6.4 magnitud yang melanda Yogyakarta mengakibatkan lebih 6,200 orang terbunuh dan hampir 130,000 cedera selain menyebabkan kerosakan kecil pada monumen Borobudur dan Prambanan. – AP     

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN