Menteri Pengangkutan Singapura ditahan bantu siasatan

Dakwaan rasuah: Menteri Pengangkutan Singapura ditahan bantu siasatan

S. ISWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah peringkat tinggi yang turut membabitkan seorang taikun hotel mewah.

Pemimpin itu ditahan pada 11 Julai lalu sebelum ibebaskan dengan ikat jamin.

Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) dalam satu kenyataan mengesahkan penahanan menteri Kabinet itu.

Menurut CPIB, taikun hotel Ong Beng Seng yang merupakan antara individu paling kaya di Singapura, turut ditahan pada hari yang sama dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.

Biro itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran siasatan kes yang mengejutkan Singapura, sebuah hab kewangan global yang terkenal sebagai antara negara paling kurang rasuah di dunia.

Menteri kabinet di Singapura dibayar gaji setanding golongan berpendapatan tinggi dalam sektor swasta bagi mencegah amalan rasuah.

Beng Seng merupakan Pengarah Urusan Hotel Properties Limited (HPL), yang memiliki rangkaian hotel dan resort mewah di beberapa lokasi sekitar Asia dan Pasifik.

Dalam pemfailan dengan Bursa Singapura, syarikat itu memaklumkan bahawa Beng Seng diberi `notis penahanan’ oleh CPIB dan sudah membayar ikat jamin.

Walaupun pasport individu ditahan biasanya dirampas, Beng Seng diberikan kebenaran untuk meninggalkan Singapura semalam, dengan CPIB menyatakan pihaknya mempertimbangkan permintaan perjalanan ke luar negara berdasarkan kes.

CPIB berkata, pihaknya `menerima permintaan Beng Seng untuk melakukan perjalanan ke luar negara’, namun meningkatkan bayaran ikat jamin kepada AS$76,000 (RM344,088).

“Apabila dia pulang, Beng Seng dikehendaki melaporkan diri kepada CPIB dan menyerahkan pasportnya kepada biro,” jelas agensi itu.

Sebelum ini, Beng Seng, rakyat Malaysia yang juga penduduk tetap Singapura, dipuji kerana membantu membawa Grand Prix Formula Satu ke republik itu pada 2008.

Syarikat swastanya, Singapore GP dan Lembaga Pelancongan Singapura tahun lalu memperbaharui kontrak untuk menjadi tuan rumah perlumbaan F1 sehingga 2028. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN