Dakwaan rasuah: Menteri Pengangkutan Singapura diarahkan bercuti

Dakwaan rasuah: Menteri Pengangkutan Singapura diarahkan bercuti

S. ISWARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura (CPIB) menjalankan siasatan terhadap Menteri Pengangkutan, S. Iswaran berhubung kes yang didedahkan oleh agensi tersebut.

Namun, CPIB tidak menjelaskan secara terperinci berhubung siasatan yang dilakukan terhadap Iswaran.

“CPIB sedar banyak pihak, termasuk masyarakat mengikuti kes ini kerana ia melibatkan seorang menteri.

“Memandangkan kes dalam siasatan, CPIB tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenainya,” jelas agensi itu dalam kenyataan seperti yang dilaporkan Berita Mediacorp.

Jelas agensi terbabit, pihaknya akan menyiasat kes berkenaan secara menyeluruh dengan telus dan teliti bagi membuktikan fakta serta kebenaran untuk menegakkan kedaulatan undang-undang.

Perdana Menteri, Lee Hsien Loong menerusi kenyataan berkata, beliau sudah pun diberi taklimat oleh Pengarah CPIB mengenai kes yang didedahkan agensi itu.

Pengarah CPIB, Denis Tang turut meminta persetujuan Hsien Loong untuk menjalankan siasatan berkenaan.

“Ia akan membabitkan siasatan terhadap S Iswaran, saya beri kebenaran kepada Pengarah CPIB pada 6 Julai, selepas itu siasatan rasmi bermula pada 11 Julai lalu,” kata Hsien Loong.

Hsien Loong berkata, beliau juga sudah mengarahkan Iswaran untuk bercuti sehingga siasatan itu selesai dan tugas menteri berkenaan akan dipangku oleh Menteri Kanan Negara, Chee Hong Tat.

CPIB dalam kenyataan berkata, Singapura mempunyai ‘pendekatan toleransi sifar yang ketat terhadap rasuah’.

Agensi itu juga menyiasat semua kes tanpa rasa takut atau pilih kasih dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan rasuah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN