JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) hari ini menekankan ASEAN tidak boleh menjadi wakil kepada negara-negara lain.
Beliau berkata demikian ketika ketegangan memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dengan China berhubung isu-isu Asia Pasifik.
Para menteri ehwal luar ASEAN berhimpun di Jakarta untuk berunding mengenai isu-isu serantau dari pertikaian Laut China Selatan, yang mana Beijing menuntut hampir kesemuanya, hingga krisis di Myanmar, di mana China merupakan sekutu utama junta tentera.
Pertikaian perairan itu menyebabkan beberapa negara anggota ASEAN bertikam lidah dengan Beijing dan meningkatkan sokongan kepada tentangan AS terhadap desakan China yang kian lantang. Sebahagian negara lain pula menyokong Beijing.
“ASEAN tidak boleh menjadi medan persaingan, ia tidak boleh menjadi wakil kepada mana-mana negara, dan undang-undang antarabangsa harus sentiasa dihormati.
“Kita di ASEAN komited untuk memperkukuh perpaduan serta menegakkan sikap berkecuali ASEAN untuk melindungi keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata Jokowi.
Ketegangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini berhubung beberapa isu. Ini termasuk latihan ketenteraan di kawasan Taiwan dan sekatan menyeluruh eksport semikonduktor canggih yang dikenakan AS.
Mesyuarat di Jakarta itu disertai oleh China dan juga AS, yang mana para diplomat tertinggi kedua-dua negara bertemu pada Khamis (13 Jul) di luar mesyuarat tersebut.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken memberi amaran kepada diplomat China Wang Yi tentang akibat-akibat menyusuli satu pencerobohan keselamatan siber, yang mana China dipersalahkan, sekali lagi mengancam untuk menjejas kestabilan hubungan yang baru wujud, kata seorang pegawai AS kepada AFP.
Namun, Wang memberitahu Encik Blinken bahawa AS tidak harus mencampuri urusan China dan “bekerjasama dengan” Beijing untuk memperbaiki hubungan kedua-dua negara, menurut kementerian ehwal luar China. – AFP