WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan pakej bantuan ketenteraan bernilai AS$345 juta (RM1.5 bilion) kepada Taiwan bagi meningkatkan keupayaan pulau itu menghalang sebarang kemungkinan pencerobohan dari China.
Pakej itu dikatakan mempunyai peralatan perisikan, pengawasan dan peninjauan serta peluru senjata kecil yang diambil daripada rizab simpanan AS sendiri.
“Ini adalah keupayaan yang dapat Taiwan gunakan untuk meningkatkan pencegahan masa kini dan pada masa hadapan.
“Elemen pakej itu mengatasi stok pertahanan kritikal, kesedaran berbilang domain, keupayaan antiperisai dan pertahanan udara.
“Kami sedang berusaha untuk menyampaikan bantuan ketenteraan yang diumumkan hari ini,” kata jurucakap Pentagon.
Kongres memberi kuasa kepada Presiden, Joe Biden untuk memberi bantuan kepada Taiwan menggunakan rizab tentera AS sepertimana yang disediakan Washington kepada Ukraine sejak peperangan denga Russia bermula pada Februari 2022.
Sebelum ini, pasukan tentera China mengadakan latihan besar-besaran di sekeliling Taiwan, membabitkan simulasi serangan bersasar dan kepungan.
Beijing mendakwa Taiwan adalah sebahagian daripada wilayah China dan berikrar untuk merampasnya semula. – AFP