WASHINGTON: Twitter mengancam untuk menyaman Meta selepas syarikat induk Instagram itu melancarkan Threads, iaitu aplikasi baharu yang diharapkan dapat ‘mengalahkan’ platform sosial yang dimiliki Elon Musk tersebut.
Menerusi surat kepada ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg yang disiarkan oleh saluran berita dalam talian, Semafor semalam, peguam Musk, Alex Spiro menuduh Meta melakukan penyelewengan serta menyalahi undang-undang rahsia perdagangan Twitter dan harta intelek yang lain.
Spiro juga mendakwa Meta mengupah puluhan pekerja Twitter yang mempunyai akses terus kepada rahsia perdagangan Twitter serta maklumat sulit yang lain.
Aplikasi Threads disifatkan sebagai pencabar terbesar kepada Twitter berbanding beberapa siri pesaing lain sebelum ini.
Tindakan terbaharu Zuckerberg itu secara tidak langsung meningkatkan lagi persaingannya dengan Musk.
Threads dilancarkan menerusi rangkaian kedai aplikasi Apple dan Android di 100 negara bermula kelmarin, dengan kebanyakan pengguna menyatakan wujud persamaan tertentu dengan Twitter.
Selepas beberapa jam dilancarkan, lebih 30 juta orang sudah memuat turun Threads, menurut Zuckerberg.
“Rasa seperti permulaan sesuatu yang istimewa, tetapi kami mempunyai banyak perkara untuk dilakukan pada masa hadapan bagi membina aplikasi ini.
“Ia akan mengambil sedikit masa, tetapi saya fikir harus ada aplikasi perbualan awam dengan lebih satu bilion orang mengikutinya,” katanya menerusi aplikasi tersebut.
Twitter sebelum ini memaklumkan aplikasinya mempunyai lebih daripada 200 juta pengguna setiap hari. – AFP










