LONDON: Seorang wanita berusia 76 tahun yang tular selepas bangkit semula pada pengebumiannya di Ecuador minggu lalu akhirnya dilaporkan sudah meninggal dunia selepas lebih tujuh hari berada di unit rawatan rapi (ICU).
Kementerian kesihatan Ecuador mengesahkan, Bella Montoya meninggal dunia akibat strok iskemia di Hospital Martín Icaza dan mayatnya masih berada dalam pemantauan.
Bagaimanapun kementerian itu enggan memberikan maklumat lanjut mengenai siasatan perubatan melibatkan kes aneh itu.
Anak lelaki Montoya, Gilberto Barbera berkata, dia juga belum menerima sebarang laporan daripada pihak berkuasa tentang apa yang berlaku kepada ibunya.
Menurut Barbera, ibunya saudaranya sudah membuat aduan secara rasmi berhubung kejadian itu dan keluarganya sedang berusaha mengenal pasti doktor yang mengisytiharkan kematian ibunya sebelum ini.
Montoya dilaporkan bangun dan mula memanggil ahli keluarganya selepas menghabiskan lima jam di dalam kerandanya di rumah pengebumian di Babahoyo pada 9 Jun lalu.
Pakar perubatan percaya Montoya berada dalam keadaan catalepsy yang dicirikan oleh kehilangan sementara kawalan otot hingga mengakibatkan kelemahan dan tidak sedarkan diri.
Sebuah jawatankuasa teknikal dilaporkan sudah dibentuk bagi mengkaji bagaimana hospital boleh mengeluarkan sijil kematian minggu lalu walaupun Montoya masih hidup ketika itu.