LONDON: Pelancongan ekstrem yang menawarkan pengembaraan ke lokasi berbahaya dijangka merekodkan keuntungan bernilai trilion dolar menjelang 2030.
Ia termasuk ekspedisi ke Everest, pengembaraan ke angkasa lepas dan menyelam di dasar laut.
Pada hakikatnya ekspedisi sedemikian mampu membawa maut seperti insiden kapal selam Titan yang meletup berhampiran bangkai Titanic hingga mengakibatkan semua penumpangnya mati serta-merta.
Pun begitu, semakin ramai orang memilih untuk menghabiskan masa dan wang mereka melakukan pengembaraan ke lokasi berbahaya itu.
Lapor Daily Mail, berdasarkan satu kajian dijalankan oleh Allied Market Research, industri pelancongan pengembaraan sudah lama menjadi popular sejak beberapa tahun lalu.
Malah, industri pelancongan itu dianggarkan bernilai AS$366 bilion (RM1.71 trilion) pada tahun lalu.
Jelas laporan kajian itu, pelancongan pengembaraan berkembang dengan pesat dan pakar percaya industri itu mampu meraih pendapatan lebih AS$1 trilion (RM4.67 trilion) menjelang 2030.
“Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan pelancongan demikian adalah pendapatan boleh guna yang tinggi, tiket penerbangan semakin murah dan pengaruh media sosial.
“Ramai pelancong ingin mengambil swafoto di lokasi bahaya demi meraih pengikut dan jumlah ‘like’ yang banyak dalam media sosial,” jelas laporan itu.
Laporan itu turut menyebut, pelancongan pengembaraan juga merangkumi pelbagai aktiviti lain seperti berbasikal gunung, mendaki dan berkhemah.
“Apa yang benar-benar luar biasa adalah peningkatan melampau dalam pasaran pelancongan berbahaya itu.
“Orang ramai sanggup membahayakan kesihatan dan nyawa mereka semata-mata mahu merasai keseronokannya,” jelas laporan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Rescue, Dan Richards mengakui dirinya terkejut dan tidak pernah menyaksikan sektor pelancongan pengembaraan berkembang begitu pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.