Sisa plastik seberat 2,200 Menara Eiffel dibuang setiap tahun - Utusan Malaysia

Sisa plastik seberat 2,200 Menara Eiffel dibuang setiap tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Lebih 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia dengan satu pertiga daripadanya hanya digunakan sekali, manakala kurang 10 peratus dikitar semula.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menganggarkan antara 19 hingga 23 juta tan plastik dibuang ke tasik, sungai dan laut setiap tahun, menyamai muatan penuh dari lebih 2,000 lori sampah dibuang ke lokasi berkenaan setiap hari.

Berat sisa plastik itu menyamai berat kira-kira 2,200 Menara Eiffel.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata laporan baharu daripada Program Alam Sekitar PBB (UNEP) menunjukkan pencemaran plastik boleh dikurangkan sebanyak 80 peratus menjelang 2040 jika manusia bertindak mengguna semula, mengitar semula dan mengelak menggunakannya.

Beliau menegaskan kepentingan membendung malapetaka sisa plastik kerana plastik sekali guna yang dibuang atau dibakar membahayakan kesihatan manusia dan kepelbagaian biologi serta mencemarkan setiap ekosistem dari puncak gunung hingga ke dasar lautan.

Penegasan itu dibuat dalam perutusannya sempena Hari Alam Sekitar Sedunia dan ia selaras penggubalan draf perjanjian global bagi menamatkan pencemaran plastik menjelang November ini.

Guterres berkata mikroplastik kini terkandung dalam makanan, minuman dan udara.

Beliau berkata plastik diperbuat daripada bahan api fosil, lebih banyak plastik yang kita hasilkan, lebih banyak bahan api fosil yang kita bakar, sekali gus memburukkan krisis perubahan iklim.

Katanya, kaedah penyelesaian menunjukkan laluan jelas termasuk perjanjian yang mengikat secara sah yang masih berjalan, selepas lima hari rundingan membabitkan lebih 130 negara minggu lalu.

Mikroplastik ditakrifkan sebagai zarah plastik sehingga diameter 5mm. Dianggarkan setiap manusia di planet ini menggunakan lebih 50,000 zarah plastik setiap tahun dan banyak lagi jika pernafasan dipertimbangkan.

Dengan sains dan penyelesaian yang ada untuk menangani masalah itu, kerajaan, syarikat dan pihak berkepentingan mesti meningkatkan dan mempercepatkan tindakan untuk menyelesaikan krisis ini, kata PBB, sambil menekankan kepentingan Hari Alam Sekitar Sedunia dalam menggerakkan tindakan transformatif dari setiap sudut dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya