Pakar bimbang virus selesema burung bermutasi dengan cepat - Utusan Malaysia

Pakar bimbang virus selesema burung bermutasi dengan cepat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pakar memberi amaran wabak selesema burung kini merebak pada tahap rekod dan menggesa semua negara pengeluar ayam mempercepatkan suntikan vaksin bagi ternakan mereka.

Menurut pakar, risiko jangkitan kepada manusia kekal rendah, namun peningkatan jumlah kes selesema burung kepada haiwan mamalia semakin membimbangkan.

Sejak pertama kali muncul pada tahun 1996, virus influenza burung H5N1 sebelum ini hanya terhad kepada wabak bermusim.

Menurut Richard Webby, ketua pusat kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengkaji influenza pada haiwan, ‘sesuatu berlaku’ pada pertengahan 2021 yang menjadikan kumpulan virus itu lebih mudah menular.

Sejak itu, wabak berkenaan mula merebak ke kawasan baharu dan mengakibatkan kematian beribu-ribu burung liar dan puluhan juta ternakan terpaksa dimusnahkan.

Webby, penyelidik di Hospital Penyelidikan Kanak-Kanak St Jude di bandar Memphis, Amerika Syarikat (AS), memberitahu AFP bahawa wabak selesema burung kali ini adalah yang ‘paling dahsyat’ pernah melanda dunia.

Beliau mengetuai penyelidikan yang diterbitkan minggu ini dalam jurnal Nature Communications, menunjukkan bagaimana virus itu berkembang dan merebak dari Eropah ke Amerika Utara.

Menurut kajian itu, ia meningkat dalam virulensi, yang bermaksud ia menyebabkan penyakit yang lebih berbahaya, apabila tiba di Amerika Utara.

Penyelidik turut menyuntik seekor cerpelai dengan virus selesema burung dan mendapati kadar luar biasa virus itu pada otak haiwan berkenaan, menandakan strain baharu itu mempunyai sifat yang berbeza.

Bagaimanapun, Webber menegaskan risiko kepada manusia masih rendah, tetapi ‘virus itu tidak statik, ia berubah’, di mana namun dalam kes yang jarang berlaku, manusia juga boleh dijangkiti atau maut jika bersentuhan dengan burung yang dijangkiti.

“Pada masa sama, ini membuktikan ada potensi bagi virus berkenaan bermutasi dan mewujudkan ciri-ciri genetik bagi membolehkannya menjangkiti manusia atau menjadi virus yang mudah merebak dalam kalangan manusia.

“Virus ini juga dikesan semakin banyak menjangkiti mamalia lain, juga satu tanda yang amat membimbangkan.

“Di ladang cerpelai di Sepanyol atau dalam kalangan singa laut di Amerika Selatan, apa yang menakutkan kita sekarang ialah kewujudan bukti virus ini boleh menjangkiti antara mamalia,” katanya.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia, Monique Eloit, berkata suntikan vaksin bagi semua unggas ternakan perlu diberi perhatian serius oleh semua negara pengeluar sekarang.

“Lebih-lebih lagi kerana kita semua kini lebih tahu betapa seriusnya ancaman pandemik kepada seluruh dunia,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.