LONDON: Sebuah meja kayu yang ditemukan di kawasan rumah di Derby dipercayai merupakan perabot istimewa Dinasti Ming dari China berusia lebih 400 tahun.
Lapor Mail Online, meja sisi berukuran 79 sentimeter (sm) dengan lebar 94 sm itu diperbuat daripada kayu huanghuali yang sering digunakan dalam penghasilan perabot halus di China sejak berabad lalu.
Jurulelong dan personaliti program Bargain Hunt, Charles Hanson menemui meja yang diberi nama Banzhuo itu di hartanah dua tingkat di Derby.
Hanson berkata, pemilik meja tersebut mewarisinya daripada seorang saudara yang gemar mengumpul artifak dari Asia.
“Banzhuo adalah meja yang sangat istimewa dan penting. Walaupun ia dibuat berabad-abad yang lalu, kesederhanaannya mencerminkan reka bentuk moden.
“Meja ini ditakrifkan sebagai karya seni dan salah satu contoh terbaik perabot Dinasti Ming yang pernah disebut dalam novel China abad ke-16 tentang kehidupan di rumah besar.
“Perabot ini mungkin dimiliki oleh ahli masyarakat berpangkat tinggi, seperti pegawai kerajaan atau majistret,” jelas Hanson.
Meja itu dipercayai bernilai sekitar 50,000 pound (RM297,085) tetapi berkemungkinan akan mencetuskan perang bidaan mencecah 100,000 pound (RM594,257) apabila dijual dalam sesi lelongan di Hansons Auctioneers pada bulan Oktober ini.
Jelas Pengarah bersekutu Hansons Auctioneers, Helen Smith, pengumpul artifak dari Eropah dan Asia Barat menggemari perabot kayu huanghuali kerana keanggunan dan kepentingan sejarahnya.










