DAMSYIK: Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan puluhan lagi cedera selepas beberapa jet pejuang Russia membedil sebuah bandar yang dikawal kumpulan pemberontak di wilayah Idlib, barat laut Syria.
Perkara itu dimaklumkan oleh pasukan sukarelawan White Helmets dalam satu kenyataan.
Lapor CNN, sebuah pasar menjual buah dan sayur-sayuran turut terjejas dalam serangan yang berlaku di bandar Jisr al-Shughur.
Seorang saksi mendakwa, peluru berpandu mengenai pasar yang sesak dengan pengunjung.
Menurut White Helmets, serangan udara yang memasuki hari kedua melanda kawasan bandar itu, menjelang perayaan Aidiladha.
Malah, jelasnya, kawasan itu masih dihujani tembakan artileri sejak empat hari lalu.
Serangan di bandar Jisr al-Shughur disifatkan yang paling teruk berlaku di barat laut Syria setakat ini pada 2023.