Gesa normalisasi Arab Saudi dan Israel, AS mahu Riyadh 'tunduk' pada Zionis

Gesa normalisasi Arab Saudi dan Israel, AS mahu Riyadh ‘tunduk’ pada Zionis

SEORANG wanita Palestin mengenang nasib di atas runtuhan bangunan yang musnah dalam serangan udara tentera Israel di Semenanjung Gaza pada 12 Mei lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa proses normalisasi hubungan antara Arab Saudi dan Israel dilakukan segera.

Katanya, AS mempunyai kepentingan keselamatan negara dalam menyokong normalisasi antara Israel dan Arab Saudi.

“Kami percaya kami mampu, malah perlu memainkan peranan penting dalam menyokong normalisasi Israel dengan Arab Saudi.

“Proses itu mungkin tidak semudah yang disangka, namun AS tetap komited untuk membantu kedua-dua negara menjalin hubungan baik pada masa kini dan juga akan datang,” katanya yang mengunjungi Jeddah dan Riyadh dalam minggu ini untuk urusan rasmi.

 

PERJANJIAN ABRAHAM

Washington bertungkus-lumus menggalakkan ‘jalinan hubungan antara Israel dan Arab Saudi’ susulan kejayaan Perjanjian Abraham yang dilaksanakan oleh bekas Presiden Donald Trump untuk memujuk negara-negara Arab mengiktiraf Israel.

Riyadh sehingga kini menolak untuk mengiktiraf Israel berikutan wilayah haram itu menindas rakyat Palestin.

Namun, Blinken menegaskan bahawa normalisasi hubungan antara Arab Saudi dan Israel tidak akan menjejaskan proses damai melibatkan Palestin dengan penduduk Israel.

“Usaha integrasi dan normalisasi bukanlah pengganti kepada proses damai Israel dan Palestin. Isu kedua-dua negara itu akan tetap menjadi keutamaan.

“Kita perlu lihat hubungan baik Israel dengan rakan kongsinya boleh digunakan untuk kesejahteraan rakyat Palestin,” ujarnya.

HUBUNGAN TEGANG

Dalam perkembangan lain, Blinken dijangka mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman di Riyadh.

Biarpun hubungan rapat antara AS dengan Arab Saudi sudah lama terjalin, beberapa kes berhubung isu hak asasi manusia seperti pembunuhan kolumnis Jamal Khashoggi yang dikaitkan dengan kerabat diraja Arab Saudi menyebabkan hubungan rapat itu mulai goyah.

Jurang hubungan kedua-dua negara dilihat semakin besar apabila Riyadh baru-baru ini memberi peluang kepada China yang menyaksikan Beijing menjadi ‘orang tengah’ dalam hal ehwal Arab Saudi dengan Iran.

Pada bulan lalu, Mohammed bin Salman turut menyambut kedatangan Presiden Syria, Bashar al-Assad di Jeddah yang jelas ditentang Washington berikutan perang sivil yang berlarutan di negara itu.

 

BANTERAS DAESH

Sementara itu, mesyuarat antara Blinken dengan Majlis Kerjasama Negara Teluk bakal membincangkan isu berkaitan membanteras kegiatan Daesh secara berterusan dan berkesan.

Jurucakap Jabatan Biro Kawalan Keganasan AS, Ian McCary berkata, mesyuarat itu memberi tumpuan bagaimana kegiatan Daesh di luar Asia Barat boleh dibendung secara berkesan.

“Tumpuan kami ketika ini adalah beberapa kawasan di Afrika apabila kumpulan pemberontak mula ‘menggunakan ideologi daesh’ dalam melancarkan serangan.

“Mesyuarat itu juga bertujuan mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa dunia sentiasa bekerjasama untuk memastikan Daesh ‘sentiasa lemah, tiada tujuan dan akhirnya berkubur’,” jelas McCary. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya