El Nino: Indonesia siap sedia hadapi kebakaran hutan

El Nino: Indonesia siap sedia hadapi kebakaran hutan

ANGGOTA bomba memantau keadaan kawasan hutan yang terbakar di Riau, Indonesia pada 2019. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku kebakaran hutan dan tanah yang berleluasa pada tahun ini di tengah-tengah cuaca kering berpanjangan disebabkan oleh El Nino.

Sebelum ini, para saintis meramalkan fenomena cuaca El Nino dijangka melanda negara pada separuh kedua 2023.

“Kita sudah pun melihat trend naik pada kejadian kebakaran hutan dan tanah.

“Situasi itu berlaku walaupun negara masih dalam peralihan dari musim hujan ke kemarau,” kata jurucakap Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) Indonesia, Abdul Muhari dalam satu pertemuan.    

Menurut beliau, negara merekodkan sebanyak empat kes kebakaran hutan dan tanah pada awal bulan Mei.

Katanya, jumlah itu meningkat kepada 16 kes kebakaran hutan dan tanah yang direkodkan awal bulan ini. 

Jelas Abdul Muhari, kebakaran berlaku di beberapa kawasan di Sumatera dan bahagian Indonesia di Borneo.

“Jika negara berdepan situasi demikian dalam tempoh peralihan (antara musim hujan dan kering), maka kita boleh bayangkan bagaimana keadaannya pada kemuncak musim kemarau,” katanya.

Sebelum ini, Indonesia dilanda kebakaran hutan dan tanah yang dahsyat pada 2019.  

Berdasarkan data BNPB, lebih 162,000 hektar tanah gambut dan kawasan hutan musnah dalam kebakaran sehingga melepaskan sebanyak 624 juta tan karbon dioksida dan gas rumah hijau lain ke ruang udara.

Pada waktu itu, kebakaran hutan dan tanah berlaku ketika dua fenomena cuaca iaitu El Nino di Pasifik dan fasa positif Dipole Lautan Hindi (IOD) yang mengakibatkan kemarau berpanjangan di Indonesia.  

Bagaimanapun, kes kebakaran hutan dan tanah menurun dengan ketara sejak tiga tahun lalu kerana fenomena cuaca La Nina menyebabkan lebih banyak musim hujan.

Sementara itu, pakar kaji cuaca di Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), Urip Haryoko berkata, Indonesia mungkin mengalami musim kemarau berpanjangan yang boleh berlarutan sehingga Mac atau April tahun depan. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN