China sokong kemerdekaan Palestin, mahu jalin hubungan rapat

China sokong kemerdekaan Palestin, mahu jalin hubungan rapat

BELIA Palestin menggantung bendera dan kain rentang sempena Hari Al-Quds di hadapan Masjid al-Aqsa pada April lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China secara terbuka menyokong perjuangan Palestin mendapatkan hak di tanah air mereka ketika Presidennya, Xi Jinping mempertaruhkan peranan yang lebih besar di Asia Barat untuk menentang pengaruh Amerika Syarikat (AS) di rantau itu.

Malah, Presiden Pihak Berkuasa Palestin (PA), Mahmoud Abbas yang tiba di Beijing untuk lawatan tiga hari di Beijing turut disambut dengan penghormatan penuh tentera di Dewan Besar Rakyat kelmarin.

SAHABAT DAN RAKAN KONGSI BAIK

Pada permulaan pertemuan dua pemimpin itu, Jinping menegaskan kedua-dua negara kini adalah sahabat dan rakan kongsi yang baik.

“Kami sentiasa menyokong perjuangan adil rakyat Palestin untuk memulihkan hak kebangsaan mereka yang sah,” tegasnya dipetik portal Al Jazeera.

Beliau menjelaskan, penyelesaian kepada konflik berkenaan terletak pada penubuhan negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

Perkara itu jelas seperti dinyatakan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1967 namun ditolak Israel.

Dalam pada itu, Mahmoud berkata, pentadbirannya kini tidak sabar untuk mengukuhkan kerjasama dengan China dan meraih bantuan pelaburan daripada negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

“Kami amat menghargai komitmen pihak China untuk membiayai beberapa projek pembangunan yang dibentangkan oleh Palestin. Kami mendoakan penghantaran cepat delegasi teknikal untuk melaksanakan projek-projek ini,” katanya.

PENYELESAIAN ADIL DAN TAHAN LAMA

Jinping turut menggelar perkongsian strategik China dengan Palestin sebagai pencapaian penting dalam sejarah hubungan dua hala negaranya.

Beijing sudah lama mengekalkan hubungan diplomatik dengan PA sejak lawatan terakhir Mahmoud pada tahun 2017 yang membincangkan keupayaannya untuk menjadi pengantara konflik Israel-Palestin.

Rundingan damai Israel-Palestin terhenti sejak 2014 namun Beijing dilihat berusaha keras untuk meningkatkan pengaruhnya di Asia Barat dan memulakan langkah itu dengan membantu menyelaraskan hubungan antara Arab Saudi dan Iran pada bulan Mac lalu.

Presiden Iran, Ebrahim Raisi turut menjadi pemimpin Iran pertama melawat China dalam tempoh 30 tahun selepas tiba di Beijing pada Februari lalu.

Jinping terbang ke Arab Saudi Disember tahun lalu untuk menghadiri Sidang Kemuncak China-Arab yang pertama dan sempat bertemu Mahmoud di Riyadh.

Dalam pertemuan tersebut, Jinping berjanji untuk membantu usaha penyelesaian lebih awal, adil serta tahan lama terhadap isu Palestin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya