'Bukan mudah untuk siasat apa berlaku kepada kapal selam Titan'

‘Bukan mudah untuk siasat apa berlaku kepada kapal selam Titan’

KAPAL kargo Polar Prince digunakan untuk menunda Titan ke tengah lautan sebelum kapal itu memulakan selaman. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

OTTAWA: Laporan penuh siasatan insiden kapal selam Titan yang mengorbankan lima penumpangnya ketika meneroka bangkai kapal Titanic, dijangka mengambil masa antara 18 bulan hingga dua tahun.

Pihak berkuasa Kanada sudah memulakan siasatan membabitkan kes letupan kapal selam firma OceanGate itu yang sebelum ini hilang sejak minggu lalu.

“Tanggungjawab kami adalah merungkai apa sebenarnya berlaku kepada Titan dan puncanya.

“Siasatan itu juga dilaksanakan bagi mengetahui perkara perlu diubah untuk mengurangkan risiko kejadian sedemikian pada masa hadapan.

“Sudah tentu, semua orang mahu penjelasan itu terutamanya keluarga mangsa,” kata Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan (TSB), Kathy Fox kepada pemberita di St. John’s di Newfoundland.

Semalam, pasukan penyiasat TSB menaiki kapal kargo Polar Prince yang mengibarkan bendera Kanada.

TSB secara rutin menjalankan siasatan terhadap nahas udara, kereta api, marin dan saluran paip dengan tujuan meningkatkan keselamatan pengangkutan.

Lembaga itu tidak sama sekali menyenaraikan kesalahan mahupun menentukan liabiliti sivil atau jenayah.

Dilaporkan, kapal kargo Polar Prince menunda Titan ke laut pada hujung minggu lalu tetapi terputus hubungan dengannya kira-kira satu jam 45 minit selepas kapal selam itu dilancarkan ke dalam lautan.

Penemuan sejumlah serpihan kapal selam Titan itu di dasar Laut Atlantik oleh robot tanpa pemandu yang dikerahkan dari sebuah kapal penyelamat Kanada, menamatkan usaha mencari dan menyelamat antarabangsa yang dijalankan selama lima hari.

Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kesemua lima penumpang Titan meninggal dunia selepas kapal selam itu mengalami letupan dahsyat.

Sebuah medan serpihan ditemukan di dasar laut, kira-kira 500 meter dari haluan Titanic.

Kesemua penumpang Titan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif OceanGate, Stockton Rush, disahkan meninggal dunia.

Empat mangsa lain adalah hartawan kelahiran Pakistan yang memegang kerakyatan Britain, Shahzada Dawood dan anaknya Suleman; jutawan warga Britain, Hamish Harding dan pakar kapal Titanic, Paul-Henri Nargeolet.

Dalam pada itu, polis Kanada (RCMP) sedang menyiasat sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam siri rentetan insiden yang menyebabkan kematian lima penumpang kapal selam Titan.

REAKSI KELUARGA MANGSA

Sementara itu, beberapa keluarga dan kenalan rapat mangsa berkongsi kenangan lima individu yang maut dalam insiden letupan kapal selam Titan itu.

Keluarga Hamish menyifatkan jutawan warga Britain itu sebagai seorang suami dan bapa yang penyayang.

“Berita pemergian Hamish amat menyedihkan. Kami turut sama berkongsi kesedihan keluarga mangsa lain yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi itu,” jelasnya dalam kenyataan.

Ahli keluarga hartawan Shahzada dan anaknya Suleman pula menzahirkan rasa terharu dengan sokongan dan kasih sayang yang diterima setakat ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang menunjukkan sikap kemanusiaan terbaik ketika melalui fasa sukar ini,” kata seorang saudara mangsa.

Keluarga Paul turut menitipkan kerinduan buat mendiang.

“Segala yang diketahui mengenai kapal Titanic adalah disebabkan hasil kerja Paul.

“Mendiang amat mesra, suka berjenaka, pemurah dan prihatin. Beliau sangat menyayangi keluarganya,” jelas mereka. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN