RICHMOND: Bekas jurutera Google berjaya mencipta aplikasi telefon pintar baharu yang mampu mengira kalori dalam sebarang hidangan dengan hanya menggunakan gambar.
Bekas jurutera Google, Wade Norris bersama bekas jurutera syarikat teknologi Raytheon, Scott Baron melancarkan aplikasi SnapCalorie yang dikatakan dapat membantu individu yang terlalu takut mengambil makanan melebihi had kalori dalam diet mereka terutamanya ketika makan di luar.
“Ramai individu gagal menganggar secara visual jumlah kalori dalam pinggan mereka.
“Namun masalah itu dapat diatasi dengan bantuan kecerdasan buatan (AI), resolusi tinggi kamera telefon pintar serta pasukan penyemak pakar yang digabungkan dalam aplikasi kami,” kata Norris dipetik Daily Mail.
Syarikat Index Ventures, Y Combinator termasuk Ketua Pegawai Eksekutif CrossFit, Eric Roza dilaporkan secara kolektif melabur dana berjumlah AS$2 juta (RM9.3 juta) ke dalam syarikat permulaan baharu milik Norris dan Baron yang berpangkalan di Virginia bagi menghasilkan aplikasi tersebut.
Aplikasi itu menggunakan AI penghitung kalori dinamakan Roboflow serta set data pemakanan khas Nutrition5k yang dihasilkan oleh syarikat itu sendiri.
Nutrition5k digunakan bagi melatih algoritma penglihatan komputer untuk meneka dengan tepat kandungan kalori setiap bahan dalam hidangan termasuk minyak dan sos yang digunakan.
Aplikasi berkenaan dilaporkan sudah tersedia untuk dimuat turun di platform Apple App Store dan Google Play secara percuma dengan pilihan premium berharga AS$29.00 (RM135.29) sebulan.