Angkara perang, rakyat merana

Angkara perang, rakyat merana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Beribu-ribu penduduk terpaksa dipindahkan dari kediaman masing-masing selepas sebahagian empangan hidroelektrik utama era Soviet di selatan Ukraine yang dikawal Russia dilaporkan musnah.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky berkata, hampir 100 bandar kecil dan perkampungan dinaiki air selepas empangan di Nova Kakhovka pecah.

Susulan insiden itu, pemimpin itu menyalahkan pasukan tentera Russia yang mengawal empangan dan bandar bersebelahan sejak pencerobohan tahun lalu, sebagai dalang bertanggungjawab. 

Zelensky menyifatkan kemusnahan empangan Nova Kakhovka sebagai tindakan keganasan dan bencana alam sekitar akibat perbuatan manusia terbesar di Eropah dalam beberapa dekad’.

Aliran air deras dari Sungai Dnipro dikatakan bakal mengundang risiko banjir besar yang menjejaskan bandar Kherson.

Russia menafikan memusnahkan empangan berada dalam kawalannya, sebaliknya mendakwa kawasan tadahan air itu sengaja diletupkan oleh tentera Ukraine.

Bagaimanapun, dakwaan kedua-dua negara itu masih belum dapat dipastikan.

Empangan Kakhovka amat penting untuk wilayah itu kerana membekalkan air kepada petani dan penduduk serta loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia.

Empangan itu juga merupakan saluran penting yang membekalkan air kepada Crimea yang diduduki oleh Russia.

Rakaman video menunjukkan air banjir yang deras mengalir melalui lubang di empangan.

Beberapa buah bandar sudah dinaiki air manakala penduduk tinggal di kawasan hilir terpaksa meninggalkan kediaman dengan menaiki bas dan kereta api. 

Dalam pada itu, Timbalan Peguam Negara, Viktoriya Lytvynova  berkata, sekurang-kurangnya 40,000 penduduk perlu dipindahkan.

Katanya, jumlah itu merangkumi 17,000 penduduk yang menetap di tebing Sungai Dnipro di wilayah dikuasai Ukraine dan 25,000 lagi di bahagian timur dikawal Russia.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Ihor Klymenko berkata, kira-kira 1,000 penduduk berjaya dipindahkan dan sebanyak 24 kawasan perumahan sudah dinaiki air.   

Beliau turut menuduh Russia melancarkan serangan di selatan wilayah Kherson yang merupakan lokasi penduduk dipindahkan.

Malah, Klymenko memberi amaran mengenai potensi bahaya yang bakal berlaku berikutan peningkatan paras air di lombong.

* CETUS BENCANA, KRISIS KEMANUSIAAN 

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kemusnahan empangan Nova Kakhovka itu mampu mencetuskan bencana alam berskala besar dan krisis kemanusiaan yang teruk bagi ratusan ribu penduduk.

Malah, pertubuhan antarabangsa itu menegaskan impak bencana dan krisis kemanusiaan berkemungkinan menjadi lebih meluas. 

“Kami amat bimbang dengan empangan Kakhovka yang musnah dan impak krisis kemanusiaan yang teruk terhadap ratusan ribu orang di kedua-dua belah barisan hadapan,” kata Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA).     

Berdasarkan laporan daripada pihak berkuasa Ukraine, kira-kira 40 bandar dan perkampungan ditenggelami air sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya.

Agensi itu juga menegaskan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata manakala ribuan lagi tiada akses kepada makanan, bekalan air dan perkhidmatan asas.

“Impaknya juga dijangka teruk di beberapa kawasan yang berada dalam kawalan Russia,” jelasnya.

Crimea yang dilaporkan menerima bekalan air dari empangan Kakhovka akan turut terjejas.   

Walaupun skop dan impak kemusnahan empangan serta penyusutan takungan Kakhovka masih dinilai, OCHA menjangkakan krisis kemanusiaan akan menjadi teruk dan berpanjangan di kawasan itu.

Selain itu, OCHA memberi amaran banjir dan aliran air deras berupaya memindahkan lombong dan bahan letupan ke kawasan baharu yang sebelum ini dinilai selamat sekali gus mengundang risiko bahaya kepada lebih ramai orang.

Tambahnya, misi bantuan kemanusiaan sedang dijalankan untuk membantu lebih 16,000 penduduk yang terjejas ketika ini.   

Terdahulu, Moscow dan Kiev saling menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sebagai dalang bertanggungjawab.

Kyiv mendakwa tentera Russia meletupkan empangan hidroelektrik itu dalam usaha terdesak menangkis serangan balas Ukraine.

Rakaman dari pemandangan udara menunjukkan struktur tengah empangan dan tadahan air di belakang musnah sekaligus menyebabkan aliran air tidak terkawal di seluruh kawasan itu.  – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya