KYIV: Seorang wartawan warga Perancis yang berusia 32 tahun terbunuh ketika membuat liputan dari zon perang di timur Ukraine.
Lapor BBC, Arman Soldin yang bekerja di agensi berita AFP, meninggal dunia selepas terkena tembakan roket berhampiran Chasiv Yar di barat Bakhmut.
Dilaporkan, sekumpulan wartawan diserang ketika bersama pasukan tentera Ukraine pada pukul 4.30 petang (waktu tempatan).
Arman terbunuh apabila roket melanda berhampiran tempat mangsa berbaring, manakala wartawan yang lain pula tidak mengalami kecederaan.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Arman yang terkorban ketika membuat liputan berita konflik di barisan hadapan.
Sementara itu, Pengerusi AFP, Fabrice Fries mengucapkan takziah dan menyifatkan kematian Arman satu kehilangan besar buat syarikatnya.
Dilahirkan di Sarajevo, Arman memulakan tugasan dengan AFP sebagai pelatih di biro Rom, pada tahun 2015 sebelum ditukarkan ke pejabat London.
Arman merupakan sebahagian daripada pasukan AFP pertama yang dihantar ke Ukraine, sehari selepas pencerobohan Rusia pada 24 Februari.
Arman menetap di Ukraine sejak September, mengetuai liputan video pasukan dan mengembara secara kerap ke barisan hadapan di timur dan selatan.










