UAE ungguli indeks pasport terbaik 2023

UAE ungguli indeks pasport terbaik 2023

UAE berada di tangga teratas indeks pasport terbaik kerana keistimewaan perjalanan tanpa visa ke 181 lokasi.-AGENSI

LONDON: Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilaporkan mengungguli senarai indeks global baharu bagi pasport terbaik untuk dimiliki tahun ini.

Walaupun Luxembourg dianggap sebagai negara yang mempunyai pasport paling berkuasa untuk dua tahun berturut-turut, negara itu jatuh di tempat kedua tahun ini.

Lapor Daily Mail, sebanyak 199 negara tersenarai dalam indeks yang disusun oleh firma perunding luar pesisir Nomad Capitalist berdasarkan lima kriteria iaitu peluang perjalanan tanpa visa, cukai warganegara, kemungkinan dua kewarganegaraan, persepsi dan kebebasan peribadi.

UAE melonjak ke tempat teratas buat pertama kali selepas berada di tangga ke -38 tahun lalu berikutan keistimewaan perjalanan tanpa visa ke 181 lokasi, ketiadaan cukai pendapatan serta kemunculannya di banyak acara persada dunia.

Malaysia turut tersenarai di tangga ke-42 dengan 99.5 mata dihadapan Amerika Syarikat (AS) yang berada di tempat ke-43 selepas mengumpul 98.5 mata.

Tiada pasport dari negara Asia Barat lain yang muncul dalam 20 tempat teratas sementara Malaysia merupakan negara Asia Tenggara kedua tertinggi dalam senarai tersebut selepas Singapura yang berada di tangga ke-30 dengan 102.5 mata.

United Kingdom (UK) pula dilaporkan jatuh empat anak tangga dari tahun lalu untuk berkongsi tempat dengan Singapura dan Monaco di tangga ke-30 tahun ini.

Switzerland turut berkongsi tempat kedua dengan 108 mata sementara Ireland dan Portugal masing-masing memperoleh 107.5 mata di tempat keempat selepas kedua-dua negara sering dipuji kerana kadar cukai korporat yang rendah.

Afghanistan kekal di tempat terakhir untuk tiga tahun berturut-turut dengan hanya 26.5 mata.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN